Oleh Thivyamalini Ramalu
PUTRAJAYA, 27 Jun (Bernama) -- Inisiatif pembangunan bandar pintar Kota MADANI di Presint 19 yang mesra rakyat dan alam sekitar, disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat terutamanya bagi yang berkhidmat di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu.
Pengerusi Persatuan Penjawat Awam Kaum India Putrajaya (IMAIYAM) Dr Sathiskumar K. Muthusamy berkata inisiatif berkenaan amat dihargai oleh penjawat awam, termasuk dalam kalangan berbangsa India yang berhijrah dari luar bandar ke Putrajaya dan mengalami kesukaran untuk mendapatkan rumah sewa.
Beliau berkata kebanyakan penjawat awam berbangsa India pernah menyatakan mereka sering berdepan masalah mendapatkan tempat tinggal dan terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi bagi pembayaran rumah atau bilik sewa.
“Disebabkan tidak dapat kuarters, mereka terpaksa menyewa di luar dengan kadar yang mahal. Ada juga yang merungut bahawa mereka sering menjadi mangsa diskriminasi ketika cuba mendapatkan rumah sewa.
“Jadi, langkah kerajaan ini amat bertepatan dan kami (IMAIYAM) sangat menghargainya. Ia bukan setakat penyediaan tempat tinggal malah memberi harapan kepada kepada ramai penjawat awam untuk hidup selesa dan bertoleransi di bawah satu bumbung Kota MADANI,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lepas merasmikan projek pembangunan Kota MADANI bernilai RM4 bilion di Presint 19, yang akan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) menerusi model kerjasama awam-swasta berkonsepkan bina-pajak-selenggara-pindah (build, lease, maintain and transfer - BLMT), tanpa melibatkan peruntukan kerajaan pada peringkat awal.
Kota MADANI bakal merangkumi 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, sekolah menegak serta pelbagai kemudahan awam.
Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Program Jabatan Komunikasi Komuniti K.Yuvarany berkata pembangunan kuarters itu amat ditunggu-tunggu memandangkan beliau turut berdepan dengan kadar sewa mahal biarpun hanya menyewa bilik di Cyberjaya.
“Sewa bilik saya RM550 dan kadar sewa tempat letak kereta pula RM70 sebulan. Kos pengangkutan ulang-alik ke Putrajaya dan kadang-kadang ada tugasan luar, serta kos makanan mencecah lebih RM1,400 termasuk perbelanjaan lain,” katanya.
Yuvarany yang telah memohon kuarters kerajaan di Putrajaya pada November lepas kini diletakkan dalam senarai menunggu dan berharap permohonannya diterima secepat mungkin.
“Saya akur senarai menunggunya agak panjang. Masa saya mohon, angka gilirannya lebih 4,000 tetapi setakat ini nombor giliran yang telah lulus hanya lebih 3,000 tahun ini. Kalau running number ini agak lambat, saya rasa ia menyusahkan individu yang amat memerlukan kuarters atau mereka yang berdepan dengan masalah kewangan.
“Mungkin prosesnya perlu dipercepatkan dengan menghubungi pemohon itu sendiri dan menyoal selidik mereka sendiri berhubung keperluan kuarters agar tidak perlu menunggu lama,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Aliff Asyraf Ab Aziz yang bertugas di Kementerian Komunikasi berkata pembinaan kuarters baharu itu dilihat sebagai nilai tambah bagi petugas di Putrajaya.
“Saya pernah memohon kuarters di Kuala Lumpur ketika bertugas di sana dahulu tetapi gagal. Sekarang saya telah memiliki kediaman sendiri namun bukan semua orang yang bernasib baik untuk ada rumah sendiri lebih-lebih lagi kos sara hidup semakin meningkat,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa semalam dilaporkan berkata projek pembangunan Kota MADANI dijangka memberi penjimatan kos sara hidup hingga RM1,000 sebulan kepada penjawat awam.
Beliau berkata melalui projek itu penjawat awam dapat menetap di kuarters yang disediakan pada kos minimum, dengan potongan elaun rumah dan elaun bantuan sara hidup (COLA) yang hanya sekitar RM400 sebulan.
Keperluan sebenar kuarters di Putrajaya adalah 35,000 unit namun hanya 22,000 unit tersedia sejak lebih 20 tahun lepas dan jumlah itu tidak pernah meningkat. Kini terdapat 17,000 permohonan dalam senarai menunggu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial