WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FTA Korea Selatan-Malaysia Bakal Perkukuh Hubungan Dua Hala, Kata Duta Besar

27/06/2025 03:07 PM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi dan Nur Elysa Amirah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung Bae menyuarakan komitmen kukuh negara itu untuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Malaysia, seiring dengan kerjasama yang dijangka terus berkembang serta lebih menyeluruh.

Bercakap kepada Bernama, Yeo berkata pemimpin kedua-dua negara telah menegaskan lagi hasrat untuk mengukuhkan kerjasama yang saling memanfaatkan, merangkumi pelbagai sektor lebih meluas termasuk perdagangan, pelaburan, pertumbuhan hijau, infrastruktur, transformasi digital dan industri pertahanan.

“Kita kini memasuki fasa akhir selepas mengadakan lebih daripada sembilan pusingan rundingan FTA.

“Sehubungan itu, saya menjangkakan apabila pemimpin kedua-dua negara bertemu kelak, kemungkinan besar bersempena Sidang Kemuncak ASEAN pada akhir Oktober ini (akan menyaksikan) rundingan itu dimuktamadkan yang pastinya menjadi berita baik untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Yeo turut menyifatkan FTA itu bukan sekadar perjanjian perdagangan dan pelaburan konvensional, tetapi satu perjanjian komprehensif yang turut merangkumi peralihan digital, ekonomi digital, ekonomi hijau dan bioekonomi.

“Ini merupakan industri masa depan yang bernilai dan berteknologi tinggi. Menerusi perjanjian perdagangan bebas dua hala ini, bukan hanya perniagaan dan rakyat Korea Selatan, tetapi rakyat Malaysia serta perniagaan mereka, termasuk petani dan nelayan, turut meraih manfaat.

“Memandangkan butiran FTA itu belum diumumkan, saya tidak dapat mengulasnya. Namun, apa yang saya boleh katakan ialah kita mempunyai masa depan lebih cerah dari segi kerjasama industri dan perniagaan kedua-dua negara,” katanya.

Pada 23 Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung bersetuju untuk memperluas kerjasama dua hala secara substantif dan saling memanfaatkan, termasuk usaha memuktamadkan FTA itu.

Persefahaman itu dicapai menerusi perbualan telefon pertama antara kedua-dua pemimpin yang mana  Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Lee atas pelantikannya sebagai Presiden Korea Selatan.

Yeo berkata di bawah pentadbiran baharu Lee yang menyandang jawatan itu pada 4 Jun lepas, Korea Selatan dijangka mengamalkan dasar diplomasi pragmatik yang bertujuan memupuk keamanan dan kemakmuran bersama.

“Kerajaan baharu Korea Selatan baru memerintah selama tiga minggu. Namun, sewaktu kempen pilihan raya presiden, Lee telah jelas menyatakan kerajaan baharu dijangka mengamalkan dasar diplomasi yang pragmatik selain memperkukuh kerjasama dengan ASEAN.

“Tahun ini adalah istimewa bagi Korea Selatan dan Malaysia. Ini kerana Malaysia mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN, manakala Korea akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan kita menjangkakan lebih banyak interaksi di peringkat tinggi, termasuk pertemuan pemimpin,” katanya.

Korea Selatan adalah rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan dua hala melebihi US$20 bilion (US$1 = RM4.29) bagi tiga tahun berturut-turut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan