WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Melaka Perkenal Lafaz Taklik Dalam Bentuk Braille

27/06/2025 11:26 AM

MELAKA, 27 Jun (Bernama) -- Melaka menjadi negeri pertama di negara ini menyediakan lafaz taklik dalam bentuk tulisan Braille bagi golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan sebagai usaha memudahkan proses melafazkan taklik sewaktu pernikahan. 

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusof berkata inisiatif itu satu langkah signifikan ke arah pemerkasaan inklusif dalam perundangan syariah yang bukan sahaja memberi peluang kepada pasangan OKU memahami ikrar perkahwinan secara menyeluruh tetapi turut mencerminkan komitmen pihak berkuasa agama dan institusi perkahwinan dalam memastikan keadilan serta keterangkuman kepada semua lapisan masyarakat.

"Tahniah atas usaha Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang telah berusaha melestarikan masyarakat OKU dengan mempelbagaikan inisiatif memudahkan tatacara mereka dalam memahami dan melafazkan taklik menerusi tulisan Braille ini. 

"Ini sekali gus memberi contoh bahawa nilai hijrah dapat diterjemahkan dalam bentuk pembaharuan dan penambahbaikan yang menjadikan agama dan syariat Islam dekat dengan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kemampuan dan keadaan," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka 1447H/2025M bertemakan ‘Membangun Ummah MADANI’ di Masjid Al-Hakeem, Kampung Tehel, di sini malam tadi. 

Majlis yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam itu turut melancarkan Buku Tatacara dan Panduan Pengurusan Perkahwinan, Penceraian dan Ruju' Orang Islam Negeri Melaka.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM86,000 kepada 12 Tokoh Maal Hijrah 1447H/2025M terhadap jasa dan sumbangan mereka dalam memperkasakan pembangunan umat Islam di negeri ini.

“Penerima Anugerah Abu Bakar As-Siddiq menerima pakej umrah bernilai RM10,000 dan wang tunai RM10,000, manakala 11 tokoh lain masing-masing menerima Pakej Kembara Ilmiah bernilai RM3,000 serta wang tunai RM3,000.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua tokoh yang menerima anugerah ini. Semoga segala sumbangan mereka diterima sebagai amal jariah yang diberkati dan mendapat ganjaran setimpal di sisi Allah SWT,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan