WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Australia Tingkat Hubungan Dagangan Dengan Malaysia, Singapura Menerusi Misi Perdagangan

27/06/2025 11:16 AM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Australia sedang mempergiatkan usaha untuk mengukuhkan penglibatan ekonominya dengan Asia Tenggara menerusi misi perdagangan dan pelaburan peringkat tertinggi, yang kini dalam lawatan ke Malaysia dan Singapura.

Menteri Pelancongan dan Perdagangan Australia Don Farrell berkata delegasi itu merupakan sebahagian daripada lima misi perdagangan yang dijanjikan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anthony Albanese pada April, bagi meningkatkan hubungan dengan pasaran keutamaan di rantau ini.

“Asia Tenggara sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat dan Singapura serta Malaysia berperanan sebagai pintu masuk penting untuk mengakses pasaran itu bagi pengeksport, pelabur dan perniagaan Australia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, yang dikongsi dengan Bernama oleh Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia.

Misi ketiga di bawah inisiatif itu melibatkan wakil daripada 16 syarikat terkemuka Australia, diketuai oleh tokoh perniagaan Australia kepada Singapura dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ANZ Bank Shayne Elliott dan tokoh perniagaan di Malaysia dan CEO Kumpulan Lendlease Tony Lombardo.

Delegasi itu dijangka mendapatkan pandangan mengenai peranan Singapura sebagai hab pelaburan dan perindustrian serantau, sambil meneroka kemunculan Malaysia sebagai pintu masuk perdagangan dan perindustrian utama di Asia Tenggara.

Menurut kenyataan itu juga, sejak pelancaran Strategi Ekonomi Asia Tenggara Australia hingga 2040, selain memperkenalkan kemudahan pembiayaan pelaburan Asia Tenggara berjumlah AU$2 bilion (RM6.3 bilion) dan penempatan pasukan perjanjian pelaburan yang berdedikasi, penglibatan dengan rantau itu semakin meningkat.

Perniagaan Australia yang disokong oleh Suruhanjaya Pelaburan dan Perdagangan Australia (Austrade) merekodkan lebih AU$1 bilion hasil dagangan di seluruh Asia Tenggara tahun lepas, iaitu peningkatan 45 peratus daripada tahun-tahun sebelumnya.

“Apabila perniagaan Australia berjaya mengembangkan operasinya di Asia Tenggara, faedahnya akan kembali ke tanah air, iaitu dapat mewujudkan peluang pekerjaan, membuka pasaran dan mengukuhkan ekonomi kami,” katanya.

Malaysia merupakan rakan dagangan kedua terbesar Australia di ASEAN dan rakan kongsi ke-10 terbesar secara keseluruhan, dengan jumlah perdagangan pada 2023-2024 sebanyak AU$33 bilion.

Selain Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia, Malaysia dan Australia turut menganggotai Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan