SIBU, 26 Jun (Bernama) -- Sembilan individu termasuk lima wanita terlibat dalam penagihan dadah awal tahun ini telah diperintahkan oleh Mahkamah Litar Belaga untuk menjalani rawatan dan pemulihan dalam komuniti selama dua tahun.
Jurucakap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sibu berkata perintah berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 6(1)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang berkuat kuasa 24 Jun.
Beliau berkata kesemua orang kena jamin (OKJ) berusia 30 hingga 59 tahun yang berasal dari kawasan Sungai Asap, Belaga itu telah didapati positif dadah pada Februari dan April lepas.
“Empat daripada mereka ialah wanita yang merupakan suri rumah manakala seorang lagi pekerja am. Empat OKJ lelaki pula bekerja sebagai pekebun. Pasangan suami isteri berusia 35 dan 36 tahun turut termasuk dalam kalangan sembilan OKJ tersebut,” katanya kepada Bernama.
Jurucakap itu berkata semua OKJ dikehendaki melaporkan diri setiap bulan serta wajib mengikuti program rawatan dan pemulihan dalam komuniti yang dikendalikan AADK Daerah Sibu di Bahagian Kapit.
Beliau berkata mereka juga perlu berusaha dengan gigih bagi mengelakkan diri daripada kembali terjebak dalam penagihan dadah agar kekal bebas daripada bahan terlarang itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial