WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Korea Utara Lancar Resort Pantai Kalma Untuk Galak Pelancongan

26/06/2025 02:31 PM

SEOUL, 26 Jun (Bernama-Yonhap) -- Korea Utara menyiapkan sebuah resort pantai berskala besar di Kalma, di pesisir timur negara itu, yang disifatkan oleh pemimpin Kim Jong Un sebagai antara pencapaian utama negara tahun ini, lapor agensi berita Yonhap.

Menurut agensi berita rasmi Korean Central News Agency (KCNA), majlis perasmian resort diadakan pada Rabu dengan kehadiran Kim.

Kawasan pelancongan pesisir Wonsan Kalma itu menampilkan hotel dan asrama yang mampu menampung hampir 20,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa. 

Ia turut dilengkapi kemudahan renang, sukan, rekreasi dan ruang makan awam.

Resort itu merangkumi kawasan pantai sepanjang empat kilometer dan direka untuk aktiviti riadah sepanjang tahun, menurut KCNA.

Kim menyifatkan pembinaan resort itu sebagai antara kejayaan terbesar Korea Utara tahun ini dan menekankan ia perlu menjadi pemangkin pembangunan sektor pelancongan negara.

Kongres Kesembilan Parti Pekerja Korea yang akan datang dijangka meluluskan rancangan untuk membangunkan kawasan pelancongan serupa di lokasi lain, tambah beliau.

Kim turut ditemani anak perempuannya, Ju-ae, serta isterinya, Ri Sol Ju, yang membuat kemunculan awam pertama sejak Januari.

Duta Besar Rusia dan kakitangan kedutaan turut hadir pada majlis itu, menunjukkan potensi Rusia sebagai pasaran pelancong asing utama bagi resort berkenaan.

Resort itu dijadual dibuka kepada pelancong tempatan pada 1 Julai ini.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan