PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) -- Republik Kyrgyz komited untuk memperkukuh kerjasama menyeluruh dengan Malaysia dan memajukan lagi perkongsian kedua-dua negara ke tahap seterusnya, kata Presidennya Sadyr Zhaparov pada Rabu.
Beliau berkata hubungan dua hala antara Republik Kyrgyz dan Malaysia kini berada pada tahap tertinggi, yang diperkukuh lagi dengan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bishkek pada Mei 2024.
Bercakap pada sidang media bersama dengan Anwar selepas pertemuan mereka sempena lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, Zhaparov berkata mereka telah mengadakan perbincangan yang produktif merangkumi pelbagai isu dalam usaha mempertingkat kerjasama dua hala.
“Pertemuan kami telah mencapai rundingan yang berkesan, mengeratkan lagi persahabatan serta membuka jalan kepada pelaksanaan projek yang saling menguntungkan kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata pertemuan hari ini turut menyaksikan pemeteraian beberapa dokumen penting yang membuktikan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang politik, perdagangan, pelaburan, budaya dan hubungan antara rakyat.
Zhaparov berkata Republik Kyrgyz, yang terletak di tengah-tengah Asia Tengah, menawarkan peluang unik kepada pelabur Malaysia, khususnya dalam bidang tenaga, teknologi hijau, pelancongan, pertanian, ekonomi digital dan perbankan.
Beliau turut mengalu-alukan pelabur Malaysia untuk melabur dalam projek tenaga, sambil memaklumkan bahawa dengan 90 peratus tenaga elektrik negara itu dijana melalui hidrokuasa, ia menawarkan potensi luas untuk kerjasama strategik dalam tenaga hijau mampan.
Presiden itu juga menyatakan minat untuk memperluas pertukaran akademik dan program bersama dengan Malaysia.
Beliau turut mencadangkan supaya dialog antara parlimen dipertingkat bagi memperkukuh kerjasama institusi antara kedua-dua negara.
Sementara itu, kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan itu menyebut bahawa Zhaparov mengulangi sokongan penuh Republik Kyrgyz terhadap Pengerusi ASEAN yang disandang Malaysia pada 2025.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan kemungkinan Republik Kyrgyz menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) di Asia Tenggara.
Mereka juga mengiktiraf status kemajuan cadangan format “ASEAN + Asia Tengah” yang sedang diteliti oleh Negara Anggota ASEAN.
Pada 2024, Republik Kyrgyz merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM40 juta (US$8.74 juta).
Eksport utama Malaysia ke Republik Kyrgyz termasuk produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, jentera, kelengkapan dan alat ganti. Import utama Malaysia dari Republik Kyrgyz pula terdiri daripada bahan kimia dan produk kimia, produk elektrik dan elektronik serta makanan diproses.
Malaysia dan Republik Kyrgyz menjalin hubungan diplomatik pada 21 Mei 1992 selepas negara itu mencapai kemerdekaan susulan pembubaran Kesatuan Soviet pada 1991.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial