WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Presiden Zhaparov Lawat Menara Berkembar Petronas

25/06/2025 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Zhaparov, hari ini mengadakan lawatan ke mercu tanda ikonik Malaysia, Menara Berkembar Petronas di sini sebagai sebahagian daripada program lawatan rasmi dua harinya ke Malaysia.

Zhaparov tiba pada pukul 4.30 petang diiringi Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan, serta beberapa pegawai kanan Republik Kyrgyz. Beliau meluangkan masa kira-kira 40 minit meninjau jambatan udara di aras 42 dan menikmati pemandangan ibu kota dari aras 86 menara ikonik tersebut.

Ketibaan beliau dan delegasi disambut oleh Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management Petronas Datuk Bacho Pilong, dan diberikan taklimat mengenai seni bina menara berkembar tertinggi di dunia itu oleh Pengurus Perkhidmatan Pengurusan Lawatan Menara Berkembar Petronas Safful Bahari Din.

Semalam, Zhaparov diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya disusuli pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia merupakan kunjungan pertama Zhaparov ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden Republik Kyrgyz pada Januari 2021.

Lawatan ini juga merupakan balasan kepada lawatan rasmi Anwar ke Republik Kyrgyz pada Mei 2024.

Pada 2024, Republik Kyrgyz merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM40 juta (USD8.74 juta).

Eksport utama Malaysia ke Republik Kyrgyz termasuk produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, produk berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan alat ganti, manakala import utama dari Kyrgyz terdiri daripada bahan kimia dan produk kimia, produk elektrik dan elektronik serta makanan diproses.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan