WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Indonesia Sahkan Kapal Perang AS Lalui Selat Melaka

21/06/2025 11:43 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 21 Jun (Bernama) -- Tentera Indonesia  berkata pada Sabtu  bahawa tindakan kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS), USS Nimitz yang belayar melalui Selat Melaka adalah selaras dengan undang-undang maritim antarabangsa ketika kali terakhir dikesan minggu lepas.

Menurut Pusat Penerangan Tentera Nasional Indonesia (Puspen TNI), kapal itu sedang belayar dari Laut China Selatan ke Lautan Hindi melalui Selat Singapura dan Selat Melaka.

“Kapal itu sedang melaksanakan hak laluan transit berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982,” kata Ketua Puspen TNI Mejar Jeneral Kristomei Sianturi dalam satu kenyataan.

Beliau berkata konvensyen itu membenarkan kapal perang asing melalui selat antarabangsa tanpa notis awal, asalkan ia tidak mengancam keselamatan negara pesisir.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kebimbangan awam selepas tular satu rakaman video menunjukkan kapal berkenaan berada berhampiran Wilayah Aceh pada 17 Jun, ketika ketegangan semakin meningkat di Timur Tengah melibatkan Israel dan Iran.

Menurut tentera laut Indonesia, USS Nimitz kali terakhir dikesan dengan sistem pengecaman automatik (AIS) aktif di perairan utara Belawan, berhampiran Medan di Sumatera Utara, pada Selasa.

Kristomei berkata Angkatan Tentera Indonesia terus memantau semua aktiviti maritim asing di perairan negara dan kekal berwaspada dalam mempertahankan kedaulatan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan