DUNIA > BERITA

Malaysia Dipilih Sebagai Ahli IPHRC OIC 2025-2028

22/06/2025 12:40 AM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Malaysia berjaya dipilih sebagai Ahli Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi tempoh 2025-2028.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengetuai usaha Malaysia melobi sokongan pada sesi pemilihan yang diadakan di sela-sela Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri (CFM) ke-51 di Istanbul semalam.

"Calon Malaysia Profesor Emeritus Datuk Dr. Aishah Bidin akan berkhidmat dalam suruhanjaya itu bagi penggal berkenaan bermula Ogos tahun ini," menurut kenyataan itu.

Wisma Putra memaklumkan Aishah mempunyai pengalaman dan pendedahan meluas dalam bidang hak asasi manusia dan kemanusiaan terutamanya semasa berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). 

Beliau juga pernah pernah menjadi wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan sering diundang sebagai pakar rujuk di forum-forum anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pertubuhan antarabangsa yang lain.

Menurut kenyataan itu, keahlian Malaysia dalam IPHRC akan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara anggota untuk kesejahteraan ummah.

IPHRC yang ditubuhkan pada 30 Jun 2011 dan terdiri daripada 18 Ahli Suruhanjaya berperanan sebagai badan pakar bebas yang memberi khidmat nasihat kepada OIC dalam bidang hak asasi manusia.

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan