KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) – New Zealand mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan Pakistan 6-2 dalam perlawanan akhir Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2024-25 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Skuad ‘The Black Sticks’ menunjukkan kekuasaan mereka sejurus tiupan wisel pembukaan, menerobos gawang lawan seawal minit keenam menerusi pukulan sudut penalti Scott Cosslett.
Sam Hiha menggandakan jurang dengan gol padang tajam pada minit ke-15 sebelum Dylan Thomas dan Sean Findlay secara berturut-turut menambah dua lagi jaringan iaitu pada minit ke-17 dan minit ke-18, sekali gus memberi tamparan keras kepada Pakistan.
Scott Boyde menyumbang gol pada minit ke-27 untuk mata kelima New Zealand namun Pakistan masih mampu membalas dengan satu jaringan menerusi gol padang Zikriya Hayat pada minit ke-36.
Scott Cosslett mencipta gol keenam buat New Zealand pada minit ke-58 sebelum Sufyan Khan ‘memujuk’ Pakistan dengan gol kedua pada minit seterusnya.
Sementara itu, jurulatih New Zealand Greg Nicol yang gembira dengan gaya permainan anak buahnya berkata mereka bermain secara agresif dan tidak memberi peluang mudah kepada Pakistan.
“Pemain kami cepat belajar. Jika kami bersatu, kami akan ‘cepat tangkap’. Dan kami bagus dalam hal itu. Jadi itu membantu kami bersedia tanpa perlu adakan banyak perlawanan ujian,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam ini.
Dalam pada itu, Perancis meraih tempat ketiga dengan mengetepikan Korea Selatan 3-2 dalam pukulan penalti selepas seri 3-3.
Perancis membuka jaringan menerusi Benjamin Marque pada minit ke-15 sebelum Xavier Esmenjaud melakukan gol padang pada minit ke- 26 dan Corentin Sellier mencipta satu lagi mata pada minit ke-50.
Bagaimanapun, Korea Selatan membalas menerusi pukulan sudut penalti Yang Jihun pada minit ke-18 dan kemudian menyamai kedudukan apabila Lim Dohyun menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-45 diikuti jaringan daripada pukulan sudut penalti Yang Jihun pada minit ke-49, sekali gus mengheret perlawanan ke pukulan penalti penentuan.
Dalam penentuan itu, France nyata lebih tenang apabila Lucas Montecot, Noe Jouin dan Victor Charlet, menyempurnakan tugas dengan cemerlang manakala Korea Selatan hanya berjaya dalam dua percubaan menerusi Bae Jongsuk dan Yang Jihun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial