WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PKR Kesal Kesilapan Maklumat Salah Terhadap KPN

21/06/2025 09:56 AM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Ketua Polis Negara baharu Datuk Seri Mohd Khalid Ismail tidak pernah menjadi anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam parti itu seperti yang disiarkan dalam media sosial sebuah akhbar tempatan semalam.

Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh berkata penyebaran profil yang salah dan berkait dengan parti politik boleh menjejaskan imej serta kredibiliti Ketua Polis Negara, selain boleh menimbulkan persepsi negatif kepada PKR sebagai parti pemerintah sekiranya terdapat rakyat mempercayai bahawa lantikan Mohd Khalid dibuat atas dasar lantikan politik.

“PKR kesal atas kesilapan maklumat profil Ketua Polis Negara ke-15 Datuk Seri Mohd Khalid Ismail di dalam media sosial itu yang memaparkan beliau pernah menjadi Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR dan pernah memegang jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PKR berpendirian kesilapan itu tidak wajar berlaku dan menggesa agar satu siasatan dalaman dijalankan oleh pihak akhbar terbabit.

Fuziah turut menyertakan lampiran senarai Pengerusi MPN Kedah mengikut tahun lantikan.

1999 - Tan Sri Johari Abdul

1999 - Datuk Sheikh Azmi Ahmad

2000 - Tan Sri Johari Abdul

2004 -  Akashah Ismail

2005 - Tan Sri Johari Abdul

2007 - Datuk Zamri Yusuf

2008 - Datuk Ahmad Kasim

2010 - Datuk Wan Salleh Wan Isa

2013 - Tan Sri Johari Abdul

2014 - Dr Azman Ismail

2018 - Tan Sri Johari Abdul

2022 - Nurul Izzah Anwar

2023 - Nurin Aina Abdullah

Mohd Khalid, 60, yang dilantik sebagai KPN ke-15 menggantikan Tan Sri Razarudin Husain berkuat kuasa semalam, pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam Cawangan Khas PDRM termasuk Ketua Cawangan Khas Pahang bermula 25 Mei 2018, sebelum dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman pada 6 Sept 2021.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan