WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PDRM Kerah 500 Anggota Kawal Persidangan ASEAN Di Port Dickson September Ini

21/06/2025 05:08 PM

PORT DICKSON, 21 Jun (Bernama) -- Kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan akan menggerakkan kira-kira 500 anggota sepanjang  persidangan ASEAN yang dijadual berlangsung di Port Dickson pada September ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata langkah itu bertujuan memastikan kelancaran dan keselamatan persidangan yang bakal menghimpunkan pemimpin dan pegawai kanan serta delegasi dari negara-negara serantau.

Beliau berkata sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi sebarang ancaman terhadap keselamatan awam, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Briged Pertama Infantri turut melaksanakan Eksesais Perisai Bandar, yang fokus kepada pengendalian situasi rusuhan dan gangguan ketenteraman.

“Eksesais hari ini adalah simulasi ketika berdepan rusuhan melibatkan kumpulan ekstremis. Latihan bersepadu ini bertujuan menekankan prosedur dan kerjasama antara agensi dalam menangani isu keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan latihan itu di Padang Kawad Rejimen Kedua Kor Armor Diraja, Kem Sunggala di sini.

Turut hadir menyaksikan eksesais tersebut ialah Panglima Briged Pertama Infantri Brig Jen Zamri Othman.

Eksesais yang disertai lebih 300 anggota keselamatan itu berlangsung hampir sejam, membabitkan pelbagai aset ketenteraan termasuk kenderaan berperisai Gempita 8x8, kenderaan pembawa senjata GK-M1 serta ambulans dari Rejimen Askar Melayu Diraja.

Simulasi tersebut menyaksikan pasukan FRU melaksanakan semburan air (water cannon) bagi menyuraikan rusuhan kumpulan ekstremis, diikuti peralihan kawalan oleh anggota tentera yang melepaskan tembakan amaran.

Kemudian, formasi kawalan ketat digerakkan bagi memulihkan keadaan serta memastikan ketenteraman awam terjamin.

Latihan itu menekankan keberkesanan pelaksanaan serta penilaian terhadap taktik, teknik dan prosedur penyuraian rusuhan mengikut garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN), selain menjadi platform untuk mengaplikasikan strategi secara praktikal dalam simulasi yang mendekati situasi sebenar.

Beberapa mesyuarat dan program melibatkan ASEAN dijadual berlangsung di Port Dickson pada September ini, termasuk Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) bagi ASEAN+3 dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), selain Forum Maritim ASEAN ke-15 dan Forum Maritim ASEAN yang Diperluas ke-13.

Malaysia secara rasmi mengambil alih Kepengerusian ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan