WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPJ Healthcare Lancar Klinik Bergerak KWAN Di HSA, Sokong Penjagaan Kesihatan Awam Di Johor

20/06/2025 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) telah melancarkan operasi Klinik Bergerak Waqaf An-Nur (KWAN) di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) untuk meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan mampu milik dan menyokong perkhidmatan kecemasan untuk orang ramai.

KPJ Healthcare dalam kenyataan hari ini memaklumkan klinik bergerak itu menyediakan rawatan selepas waktu kerja untuk kes bukan kritikal dan bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital.

Klinik bergerak itu beroperasi dari 8 malam hingga 12 tengah malam, menawarkan konsultasi perubatan, ubat-ubatan asas dan sijil perubatan pada kadar subsidi setara dengan hospital kerajaan selain turut menggunakan Sistem Pengurusan Klinik digital KPJ (CMS), memastikan pengurusan pesakit yang selamat, cekap dan terjamin.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata dengan meluaskan akses kepada penjagaan selepas waktu kerja, pihaknya membantu mengurangkan kesesakan di HSAJB sambil memberi khidmat kepada masyarakat dengan lebih berkesan.

“Ini juga merupakan kali pertama Klinik Bergerak KWAN beroperasi dalam persekitaran hospital awam di Johor, yang mencerminkan kekuatan kerjasama kami dengan rakan kongsi kerajaan. Ia adalah sebahagian daripada komitmen Sistem Kesihatan KPJ untuk memberikan lebih banyak perkhidmatan,” katanya.

Pelancaran Klinik Bergerak KWAN disempurnakan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Dr Mohtar Pungut @ Ahmad, Pengarah HSAJB Dr Mohamad Nizam Subahir serta wakil pengurusan kanan KPJ Healthcare dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada kerjasama melibatkan Kerajaan Negeri Johor, JKNJ, Waqaf An-Nur Corporation Berhad dan Pejabat EXCO Kesihatan Negeri Johor.

Perkhidmatan Klinik Bergerak KWAN di Johor bermula pada 2017 dan kini disokong oleh dua unit mudah alih yang terus berkhidmat untuk komuniti di lokasi sedia ada di seluruh negeri ini. Dengan penambahan HSAJB sebagai pusat perkhidmatan baharu, klinik bergerak kini mencapai lebih ramai pesakit, termasuk mereka yang mendapatkan rawatan di hospital awam.

Sehingga kini, KWAN telah merawat lebih 2.2 juta pesakit di seluruh Malaysia melalui rangkaiannya, termasuk lapan klinik statik, lapan pusat dialisis dengan 192 mesin dialisis dan sembilan unit mudah alih.

Berasaskan prinsip wakaf Islamik, KWAN adalah inisiatif CSR yang disokong oleh sumbangan zakat dan wakaf amal. Ia menyediakan perkhidmatan perubatan berkualiti kepada komuniti yang memerlukan dengan kos yang minimum tanpa mengira latar belakang, bangsa atau agama.

KPJ Healthcare kekal komited untuk mengembangkan model KWAN di seluruh negara sebagai sebahagian daripada misinya yang lebih luas untuk mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan Malaysia dan memastikan akses kepada semua.

Untuk maklumat lanjut, layari https://kpjhealth.com.my/csr

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan