WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UTM A Buktikan Kehebatan, Rangkul Juara Robocon Malaysia 2025

19/06/2025 10:56 PM

BATU PAHAT, 19 Jun (Bernama) -- Walaupun berdepan kegagalan pada peringkat awal pembangunan prototaip, pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) A tidak patah semangat sebaliknya berjaya bangkit dan menjuarai Pertandingan Robocon Malaysia 2025.

Ketua pasukan UTM A Moh Nian Chun berkata beliau bersama lima lagi ahli pasukan sentiasa berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan robot yang dibangunkan dapat berfungsi selaras dengan tema pertandingan, ‘perlawanan bola keranjang’.

Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Elektrik itu berkata idea untuk membina dua robot dengan fungsi berbeza, satu sebagai penyerang manakala satu lagi sebagai pertahanan bermula pada November dan kedua-duanya berjaya disiapkan dalam tempoh enam minggu.

“Pada permulaannya, robot yang dibina menggunakan besi menghadapi masalah pergerakan disebabkan terlalu berat.

“Kami terpaksa menukar bahan beberapa kali dan selepas beberapa sesi demonstrasi serta mendapatkan pandangan senior, kami akhirnya memilih aluminium sebagai bahan utama robot,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan berkenaan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan) Ahmad Rizal Adnan bersama Pemangku Naib Canselor UTHM Prof Dr Abdul Rashid Abdul Razzaq.

Moh berkata pasukannya turut melakukan beberapa sesi demonstrasi sebagai persiapan menghadapi pertandingan sebenar dan usaha berterusan itu membuahkan hasil apabila muncul juara.

“Cabaran kami seterusnya adalah menyertai Pertandingan Robocon Peringkat Antarabangsa anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) dari 23 hingga 25 Ogos ini di Ulaanbaatar, Mongolia. Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mengharumkan nama negara,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Rizal berkata pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sejak 2002 bukan sekadar pertandingan robotik tetapi merupakan platform strategik memperkasakan budaya inovasi dan teknologi dalam kalangan mahasiswa.

“Pertandingan ini turut mengasah kemahiran kejuruteraan, mempamerkan kreativiti, reka bentuk serta kebitaraan teknikal dalam penciptaan robot.

“Selaras dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 yang memberi tumpuan kepada akses pendidikan inklusif, transformasi digital serta peningkatan daya saing global, pertandingan ini adalah antara usaha penting ke arah merealisasikan matlamat berkenaan,” katanya.

Naib juara Robocon Malaysia 2025 pula dimenangi UTM B manakala tempat ketiga diraih Universiti Sains Malaysia (USM) A. Anugerah Reka Bentuk Terbaik pula dirangkul UTHM.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan