ISKANDAR PUTERI, 19 Jun (Bernama) -- Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia-Johor (IMFC-J) menerima sejumlah 439 pertanyaan berkaitan pelaburan dalam masa hanya lima bulan sejak pelancarannya pada Februari tahun ini.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pusat itu memperoleh 57 pelaburan berpotensi bernilai RM26.18 bilion beserta enam pelaburan dipersetujui bernilai RM16.71 bilion.
Beliau berkata IMFC-J mengubah cara pelaburan dilaksanakan di negeri ini, khususnya melalui inisiatif Johor Super Lane (JSL), yang menawarkan kelulusan pantas untuk pelaburan keutamaan dengan menghapuskan birokrasi yang tidak perlu dan mempercepatkan proses membuat keputusan.
“Ini kerana kami percaya urusan menjalankan perniagaan di Johor sepatutnya lebih mudah, cekap dan mesra pelabur,” katanya semasa majlis penutup Nikkei Forum Medini 2025, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Onn Hafiz berkata Johor juga bersedia untuk memenuhi permintaan bakat melalui Johor Talent Development Council (JTDC), yang turut berperanan sebagai sebahagian daripada persiapan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
"JTDC memastikan bahawa sejak hari pertama penglibatan pelabur, perancangan bakat sudah disediakan. Kami menyelaraskan keperluan tenaga kerja anda dengan program perancangan bakat kami.
“Menjelang 2026, matlamat kami jelas - melahirkan 10,000 graduan sedia bekerja dalam sektor yang sejajar dengan bidang tumpuan JS-SEZ seperti pembuatan pintar, semikonduktor, infrastruktur digital dan tenaga boleh baharu,” katanya.
Beliau juga berkata Johor mengalu-alukan penyertaan negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dalam perancangan Taman Perindustrian ASEAN.
"Kami mengalu-alukan penyertaan dan maklum balas anda dalam semua inisiatif ini. Johor bersedia sebagai rakan yang komited, rakan usaha sama yang bersedia, dan penjaga yang bertanggungjawab terhadap peluang yang diamanahkan kepada kami," katanya.
Terdahulu, Onn Hafiz melahirkan penghargaan terhadap keputusan Nikkei untuk memilih Medini, Johor, sebagai venue bagi forum antarabangsanya, menyifatkan ia sebagai cerminan hubungan Jepun-Malaysia yang kukuh dan keunggulan Johor di persada global.
Nikkei Forum Medini Johor 2025 yang berlangsung selama dua hari itu dianjurkan bersama oleh Iskandar Investment Bhd dan Nikkei Inc Jepun, dan dihoskan oleh kerajaan negeri Johor dengan sokongan daripada Bahagian Perancang Ekonomi Johor, Invest Johor, dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial