LANGKAWI, 19 Jun (Bernama) -- Kenyataan Bersama Langkawi mengenai Keciciran Kanak-Kanak dan Belia (OOSCY) dipersetujui oleh Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN sebagai satu kerangka panduan untuk mengatasi cabaran akses kepada pendidikan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata inti pati dokumen bertajuk "Mempercepat Strategi Inovatif: Menangani Cabaran OOSCY" itu akan diperhalusi lebih mendalam dalam satu seminar menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
“Kita telah melalui proses yang panjang untuk mencapai kata sepakat terhadap komitmen ini. Alhamdulillah, tiada sebarang pindaan dibuat dan para pemimpin negara terlibat telah memberikan pandangan masing-masing mengenai bagaimana ASEAN boleh bergerak sebagai satu komuniti untuk melaksanakan intervensi dan menangani isu ini secara serius.
“Malaysia akan menterjemahkan komitmen ini melalui penganjuran seminar pada Oktober nanti dan kita berharap ia dapat diterjemahkan ke dalam tindakan selepas dipersetujui oleh semua Menteri Pendidikan sebagai komitmen bersama,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN (#EduRoundtables2025) di sini, hari ini.
Fadhlina turut menegaskan bahawa isu keciciran pelajar serta tahap numerasi dan literasi mempunyai kaitan rapat dengan kemiskinan dan perlu diberi perhatian serius.
Di Malaysia, misalnya, beliau berkata beberapa intervensi telah diaplikasikan antaranya menerajui isu pembelajaran asas (foundational learning) menerusi perluasan akses prasekolah, penubuhan jawatankuasa khas bagi pengukuhan kurikulum serta penelitian keperluan reformasi teknologi digital termasuk bilik darjah yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI-powered classroom).
Kenyataan Bersama Langkawi mengenai OOSCY mengakui bahawa krisis dan cabaran di rantau ASEAN termasuk perubahan iklim, situasi konflik, kemiskinan yang semakin mendalam, ketidaksamaan pendapatan serta kesan berpanjangan daripada pandemik COVID-19 telah memburukkan lagi jurang ketidaksamarataan dalam pendidikan.
"Kami menekankan keperluan mendesak untuk menangani jurang pendidikan bagi memastikan pendidikan inklusif, boleh diakses dan berkualiti tinggi untuk OOSCY seperti yang digariskan dalam Deklarasi ASEAN mengenai Memperkukuh Pendidikan untuk OOSCY yang diterima pakai pada 2016.
"Kami menekankan keperluan bagi Negara Anggota ASEAN untuk mempercepat pelaksanaan strategi inovatif, disasarkan dan bermakna di dalam dan di seluruh ASEAN untuk mengurangkan bilangan OOSCY di dalam dan di seluruh Negara Anggota ASEAN.
"Sehubungan itu, kami menyeru Negara Anggota ASEAN dengan kerjasama rakan kongsi pembangunan, masyarakat sivil dan sektor swasta, untuk mempercepat penggunaan strategi pendidikan yang inovatif, didayakan teknologi dan inklusif yang memastikan peluang pembelajaran saksama untuk OOSCY sekali gus membina Komuniti ASEAN yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan,” menurut dokumen itu.
Antara strategi yang diketengahkan bagi mengatasi isu OOSCY termasuk Penyelesaian Pembelajaran Berasaskan Teknologi, Analitik Ramalan Dikuasakan AI dan Penggunaan Data, Program Pembangunan Kapasiti, Perkongsian Awam-Swasta (PPP) serta Kerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Organisasi Masyarakat Sivil.
Turut dicadangkan ialah Laluan Pembelajaran Alternatif dan Fleksibel, Dasar Pendidikan Responsif Krisis, Inisiatif Pendidikan Inklusif, Pembangunan Kemahiran dan Kesiapsiagaan Tenaga Kerja serta Kerjasama Rentas Sempadan dan Pengambilan Keputusan Berasaskan Data.
Tahun ini menandakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial