KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Malaysia berjaya menarik potensi pelaburan berjumlah RM4.6 bilion menerusi penyertaannya dalam platform utama rantau ini bagi industri elektronik dan semikonduktor global, SEMICON Southeast Asia (SEA) 2025, sekali gus membuktikan daya tarikan Malaysia di mata pelabur global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata acara yang digambarkan sebagai ‘Piala Dunia’ bagi industri mikroelektronik dan semikonduktor itu menyaksikan delegasi negara mengadakan pertemuan strategik dengan pelabur dalam sektor kejuruteraan elektrik dan elektronik, termasuk pemain utama pusat data.
Selain potensi pelaburan, Tengku Zafrul berkata Pavilion Malaysia turut menarik perhatian antarabangsa apabila sembilan syarikat tempatan mempamerkan pelbagai produk berteknologi tinggi merangkumi peralatan ujian, penyelesaian sistem serta inovasi pengurusan sisa elektronik yang menepati prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Syarikat-syarikat ini berjaya mencatat hasil tahunan lebih RM843 juta, dengan sebahagian besarnya daripada eksport ke pasaran antarabangsa.
“Sepanjang acara ini, kita turut berjaya menarik minat pembeli dari Singapura, Jepun, China dan Amerika Syarikat, dan hasilnya, potensi eksport hampir RM237 juta,” katanya menerusi satu hantaran video Reels di laman Instagram.
Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata Malaysia turut mengadakan perbincangan dengan syarikat gergasi dari Singapura dalam sektor makanan dan minuman serta barangan pengguna cepat laris (FMCG) bagi meneroka peluang mengeksport produk halal Malaysia ke negara tersebut.
Katanya perbincangan itu membuka ruang kepada potensi eksport tambahan bernilai RM270 juta.
“Ini peluang keemasan untuk pengeluar Malaysia menembusi pasaran Singapura dengan jumlah keseluruhan potensi pelaburan bernilai RM4.6 bilion dan potensi eksport sebanyak RM507 juta,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial