WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia, Thailand Jalin Kerjasama Ekonomi Sempadan, Bantu Wilayah Miskin

19/06/2025 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Thailand sedang bekerjasama rapat untuk merintis satu bentuk kerjasama baharu yang bertujuan membantu wilayah miskin di kedua-dua belah sempadan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata tumpuan terhadap wilayah miskin di selatan Thailand dan utara Malaysia dapat mengukuhkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara, yang sekali gus boleh mendorong pertumbuhan serta membantu menyelesaikan isu yang masih tertangguh.

“Jadi, kita masih lagi mempunyai pertikaian sempadan. Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai Kemboja atau Thailand ketika ini kerana seperti yang diketahui, Malaysia ialah negara maritim, dan kita mempunyai isu sempadan dengan semua negara jiran.

“Namun, itu tidak menghalang kita daripada memberi tumpuan kepada keutamaan bersama - hubungan dua hala yang cemerlang, keamanan dan keselamatan, serta kerjasama dalam semua bidang - ekonomi, budaya, politik dan pendidikan.

“Saya fikir ini adalah pendekatan terbaik ke hadapan,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas pada Sidang Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-38 di sini pada Khamis.

APR ke-38 yang berlangsung dari 17 hingga 19 Jun merupakan forum serantau terulung anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.

Tema tahun ini, "Recalibrating Asia's Frontier", menghimpunkan diplomat, cendekiawan dan penggubal dasar untuk membincangkan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, perubahan dinamik kuasa dan masa depan kerjasama serantau dalam dunia yang semakin tidak menentu.

Anwar berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini berpeluang untuk meneroka dan memperluas ufuk kerjasama serantau.

“Tahun ini sememangnya signifikan, bukan sahaja untuk rantau kita tetapi juga untuk harapan dan aspirasi bersama.

“Sebagai ejen perubahan, peranan kita bukan sekadar mencerminkan nilai-nilai ASEAN, tetapi kita juga mesti cuba membentuknya, berdepan dengan realiti mencabar tentang struktur serantau, memperbaharui komitmen terhadap tanggungjawab bersama dan memperkukuh kerjasama yang bukan sekadar retorik.

“Kita sedang bersiap untuk menghadapi dunia yang penuh cabaran dan mesti mempertingkat integrasi serantau,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan