KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Malaysia sedang giat menaik taraf perjanjian perdagangan sedia ada dengan negara-negara anggota ASEAN dan rakan dialog, memperkukuh komitmennya terhadap ekonomi serantau yang lebih bersepadu dan berdaya tahan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ASEAN telah meletakkan asas kukuh yang telah membimbing komunitinya melalui pelbagai pertikaian dan krisis sama ada isu kedaulatan, sempadan, ancaman pandemik atau bencana iklim.
“Ia telah mengukuhkan integrasi ekonomi kita melalui inisiatif seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau, dan pada masa depan, Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital.
“Kami akan terus meletakkan kepercayaan kami kepada prinsip asas penubuhan ASEAN dan potensinya yang berterusan.
“Namun, kita perlu melangkah lebih jauh dalam memperkukuh tekad bersama,” kata beliau dalam ucaptama pada 38th Asia-Pacific Roundtable: Recalibrating Asia’s Frontiers di sini hari ini.
Beliau berkata sebagai ejen perubahan, Malaysia selaku pengerusi ASEAN, bukan sahaja perlu mencerminkan nilai-nilai ASEAN, malah perlu cuba membentuknya.
Anwar menegaskan keperluan untuk berdepan dengan realiti sukar mengenai struktur serantau, memperbaharu komitmen terhadap tanggungjawab bersama dan memperkukuh kerjasama yang melangkaui retorik.
“Kita sedang bersiap sedia untuk menghadapi dunia yang penuh dengan cabaran dan perlu meningkatkan integrasi serantau, membangunkan hubungan ekonomi tambahan dan memanfaatkan pemangkin pertumbuhan masa depan, termasuk transformasi digital, lonjakan pesat kecerdasan buatan dan peralihan tenaga,” kata beliau.
Menangani kebimbangan mengenai dasar perlindungan yang meningkat, Anwar berkata perdagangan adalah asas kepada keselamatan serantau.
“Perdagangan bukan isu sampingan, ia adalah tonggak kepada kestabilan serantau. Apabila perdagangan lemah, wujud perpecahan,” kata beliau.
Beliau berkata Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China baru-baru ini menjadi bukti jelas kepada kekuatan ASEAN dalam menghimpunkan pelbagai pihak dan komitmennya untuk memanfaatkan sinergi ekonomi dan menggalakkan kerjasama antara institusi.
Anwar berkata langkah memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) akan memanfaatkan potensi besar ekonomi digital serantau dan yang lebih penting, kesalinghubungan antara rantau yang lebih baik akan mewujudkan peluang baharu kepada perniagaan tempatan untuk memperluas operasi mereka di rantau ini.
Dalam ekonomi global beralih ke arah kelestarian, Anwar berkata ASEAN perlu segera memanfaatkan peluang dan kerjasama dalam ekonomi hijau yang berkembang.
“Kami sedang meningkatkan usaha dalam peralihan tenaga dan amalan mampan, termasuk pembangunan garis panduan pelaburan dan Grid Tenaga ASEAN,” kata beliau.
Selain nilai ekonominya, beliau berkata pembangunan mampan adalah penting berikutan impak serius daripada perubahan iklim terhadap kehidupan rakyat.
“ASEAN yang benar-benar berteraskan rakyat hanya dapat direalisasikan melalui rantau yang lebih hijau dan lebih berdaya tahan,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial