KUCHING, 18 Jun (Bernama) -- Tiga mesyuarat utama yang berlangsung sempena Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN (SOME) ke-43 menutup tirai siri dialog tenaga peringkat tertinggi ASEAN itu.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) selaku penganjur mesyuarat berkenaan memaklumkan hari ketiga penganjuran menyaksikan pelaksanaan Mesyuarat SOME+3 Kumpulan Tadbir Urus Dasar Tenaga (EPGG) ke-24, melibatkan wakil kanan tenaga negara anggota ASEAN bersama tiga rakan dialog utama mereka China, Jepun dan Republik Korea.
Menurut kementerian itu dalam kenyataan mesyuarat berkenaan mengkaji kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga (APAEC) Fasa II (2021–2025) dan turut membincangkan hala tuju penyediaan APAEC Fasa III (2026–2030).
“Antara fokus utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan tenaga boleh baharu, keselamatan tenaga dan pembangunan tenaga nuklear secara aman.
“Selanjutnya, Dialog Tenaga ASEAN–Kesatuan Eropah (EU) kali ke-3 telah menekankan usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang tenaga,” menurut kenyataan itu.
Menurut PETRA, sesi itu memaparkan pertukaran dasar antara kedua-dua pihak termasuk penegasan sokongan EU terhadap Grid Tenaga ASEAN serta integrasi sumber tenaga boleh baharu.
Ia turut merangkumi pelaksanaan Pelan Kerja Kerjasama Tenaga ASEAN–EU 2025–2026, yang menyenaraikan inisiatif seperti Inisiatif Hijau ASEAN dan Pakej Keterangkuman Lestari (SCOPE), katanya.
PETRA turut memaklumkan mesyuarat terakhir pada hari ini adalah Mesyuarat Majlis Tadbir Urus Khas Pusat Tenaga ASEAN (ACE) yang dipengerusikan Malaysia.
“Mesyuarat tertutup ini telah meluluskan Laporan Kewangan Beraudit ACE 2024 dan membincangkan pelaksanaan Pelan Kerja ACE 2025, termasuk pembangunan awal rangka kerja subsidi tenaga boleh baharu,” menurut kenyataan itu.
PETRA turut memaklumkan persiapan ke arah Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025 turut diketengahkan dengan penekanan kepada pelaburan hijau dan inovasi teknologi tenaga.
Kesemua mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari itu bakal menjadi asas penting bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) yang akan diadakan pada Oktober di Kuala Lumpur.
Menurut PETRA acara berprestij itu menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama serantau serta menyokong aspirasi ASEAN ke arah masa depan tenaga yang mampan, selamat dan bersepadu.
“Pencapaian hasil mesyuarat itu mencerminkan komitmen ASEAN untuk terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh keselamatan tenaga, kelestarian alam sekitar, serta daya tahan ekonomi rantau ini,” katanya.
PETRA menegaskan komitmennya untuk memainkan peranan aktif dalam memacu agenda peralihan tenaga serantau melalui dialog terbuka dan kerjasama pelbagai hala yang inklusif.
Mesyuarat tiga hari yang bermula Isnin lepas itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha PETRA Datuk Mad Zaidi Mohd Karli selaku Pengerusi ASEAN SOME 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial