WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAIS Agih RM4.68 Juta Fidyah Kepada 15,613 Pelajar Selangor

18/06/2025 02:53 PM

SHAH ALAM, 18 Jun (Bernama) -- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan sebanyak RM4.68 juta menerusi program Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar 2025 kepada 15,613 penerima yang kurang berkemampuan di negeri ini. 

Pengerusi MAIS Datuk Salehudin Saidin berkata daripada jumlah itu, RM1.83 juta diagihkan kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta manakala RM1.5 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. 

Selain itu, katanya sebanyak RM1.05 juta disalurkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan RM300,000 kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

"Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar sebanyak RM300 seorang secara one off ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan, iaitu matlamat kelaparan sifar.

"Melalui agihan ini, MAIS berusaha memastikan pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan mendapatkan keperluan makanan harian yang mencukupi, seterusnya menyokong perkembangan akademik dan kesejahteraan mereka secara menyeluruh," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Agihan Fidyah MAIS Wang Saku Pelajar 2025 di sini hari ini. 

Sementara itu, MAIS dalam kenyataan memaklumkan program itu dibuat secara berkumpulan kepada golongan sasar melibatkan kerjasama daripada Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) dalam membantu mengenal pasti dan mengagihkan bantuan kepada penerima yang layak. 

"Ia bagi memastikan sumbangan fidyah orang ramai dapat dimanfaatkan secara optimum, demi kepentingan golongan yang memerlukan," menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu turut memaklumkan pada 2024, MAIS berjaya mengagihkan fidyah wang saku pelajar berjumlah RM4.84 juta melibatkan agihan kepada 16,139 pelajar di seluruh Selangor yang memenuhi syarat penerima. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan