WILAYAH - TENGAH > BERITA

PMR 2025 Perak: Kaunselor Maya ‘AIMI’ Bantu Kesihatan Mental Pelajar IPT

15/06/2025 10:09 PM

LUMUT, 15 Jun (Bernama) -- Kaunselor maya dikenali sebagai AI menyantuni Insan (AIMI) yang berupaya berinteraksi dengan individu berdepan masalah kesihatan mental diperkenalkan buat julung kalinya oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak di Lumut Waterfront.

Walaupun hanya sebuah prototaip berasaskan kecerdasan buatan (AI), AIMI telah menunjukkan potensi sebagai pendengar dan rakan pembimbing dalam membantu menangani isu kesihatan mental dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Profesor Datuk Dr Azlinda Azman berkata fasa prototaip aplikasi AI berkenaan merupakan pendekatan baharu dan inovatif bagi menangani isu tekanan, keresahan dan kemurungan dalam kalangan pelajar IPT.

“Kita tahu di Malaysia ini ada tiga juta rakyat mengalami masalah mental tapi kita hanya ada 18,000 kaunselor bertauliah. Jadi disebabkan itu aplikasi ini dibangunkan untuk membantu mereka yang mengalami masalah kesihatan mental terutamanya pelajar IPT.

“Sekurang-kurangnya apabila seseorang itu mengalami masalah tekanan, keresahan atau kemurungan, AIMI ini boleh bertindak sebagai barisan hadapan untuk mereka meluahkan perasaan dengan berinteraksi melalui AI yang dibangunkan,” katanya di sini hari.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang  melawat reruai KPT berkesempatan mendengar taklimat mengenai perkembangan prototaip AIMI selepas merasmikan Majlis Penutupan PMR 2025 Perak.

Aplikasi maya AIMI merupakan ‘seorang wanita’ dengan kebolehan bercakap dalam bahasa Melayu dan Inggeris adalah satu daripada usaha pembangunan AI selepas pelancaran Fakulti AI, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tahun lepas.

Azlinda berkata KPT menerusi Fakulti AI juga menubuhkan Konsortium AI Malaysia melibatkan universiti awam dan swasta di negara ini yang akan mempunyai tumpuan khusus bagi setiap institusi.

Pada PMR 2025 Perak ini, pihak KPT membawakan prototaip AIMI untuk orang ramai mencuba dan memberikan maklum balas sebarang keperluan atau ciri-ciri yang ingin ditambah baik sebelum dilancarkan pada Festival Idea Putrajaya, November nanti.

Azlinda berkata penciptaan aplikasi maya itu juga melibatkan gabungan beberapa kepakaran daripada pelbagai bidang termasuk rekaan kreatif, pakar perubatan, pakar psikologi serta perancangan strategik.

“Keistimewaan prototaip kaunselor AI ini ialah dibangunkan oleh pakar dalam kalangan pensyarah tempatan yang boleh memberi nasihat berdasarkan acuan rakyat di negara ini.

“AI ini dibangunkan oleh KPT melalui Jabatan Pendidikan Tinggi dan Universiti Awam, dengan projek prototaip kaunselor AI dalam kesihatan mental ini dipelopori oleh Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak dengan kerjasama kepakaran universiti tempatan lain seperti Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Zainal Abidin,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan