BATU PAHAT, 12 Jun (Bernama) -- Pembukaan premis baharu Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) bagi cawangan Batu Pahat adalah usaha untuk menambah baik kualiti perkhidmatan di Johor dengan pejabat yang beroperasi lebih selesa dan efisien, sekali gus bukti keprihatinannya kepada keperluan masyarakat.
Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata cawangan ke-19 itu mula beroperasi di Arked Mara Batu Pahat pada 2018 sebelum berpindah di lokasi baharu di Jalan Rahmat pada Sept tahun lepas.
Beliau berkata cawangan ketiga di Johor itu selepas Johor Bahru yang dibuka pada 1966 dan Muar (1980), berjaya menguruskan lebih 400 fail pusaka dan amanah dengan nilai anggaran lebih RM14 juta.
“Disebabkan komitmen AmanahRaya untuk menjadi peneraju utama perkhidmatan pewarisan di Malaysia, kita akan berusaha memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi dan dalam masa sama memastikan pelanggan mendapat pengalaman memuaskan.
“Perpindahan cawangan ini ke premis lebih selesa berikutan penambahan kes dan mendapat permintaan tinggi pelanggan di samping kesedaran mereka terhadap pentadbiran pusaka, wasiat, dan pengurusan amanah,” katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian pejabat baharu itu di sini hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid dan dihadiri Ketua Cawangan AmanahRaya Batu Pahat Dr Shukor Nordin.
Ahmad Feizal berkata ketiga-tiga cawangan AmanahRaya di Johor juga menguruskan lebih 4,500 fail dan amanah sejak mula bertapak di negeri berkenaan pada 1966, dengan nilai lebih RM500 juta.
Cawangan berkenaan berjaya mengurus lebih RM23 bilion harta pusaka seluruh negara sejak mula ditubuhkan pada 1921.
“Di negeri ini (Johor) pihak AmanahRaya merancang mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk turut serta dalam program yang dilaksanakan secara ‘turun padang’ seperti Jelajah Orang Johor (JOJ) dan sebagainya bagi tujuan promosi,” katanya.
Beliau berkata dengan perkembangan teknologi sekarang pihaknya turut menggalakkan orang ramai untuk menggunakan aplikasi My AmanahRaya, terutamanya bagi kawasan yang tidak mempunyai cawangan.
“Selain komited dengan mutu perkhidmatan dan menambah baik cawangan sedia ada, kita turut merancang membuka cawangan tambahan di Sabah dan Sarawak, dalam masa terdekat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial