JOHOR BAHRU, 20 Jun (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan peket minuman segera selepas menahan enam individu dan merampas pelbagai dadah bernilai RM1.28 juta dalam satu operasi di sekitar bandar raya ini pada 12 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata empat lelaki tempatan dan seorang lelaki Singapura serta seorang wanita Thailand berusia antara 30 hingga 39 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.
"Hasil siasatan mendapati seorang daripada ditahan iaitu lelaki tempatan berusia 31 tahun merupakan dalang sindiket," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata sindiket dipercayai aktif sejak April lepas dan menggunakan sebuah pangsapuri di bandar raya ini sebagai tempat membungkus dan menyimpan dadah.
Sindiket berkenaan turut menyasarkan pasaran tempatan menerusi penjualan peket berharga antara RM150 hingga RM300.
Beliau berkata dadah dirampas dalam operasi itu terdiri daripada 7,669.5 gram serbuk ekstasi, 13.6 gram ketamin dan lapan gram pil erimin 5.
“Turut disita dua kereta iaitu Lexus RC200T F Sport dan Perodua Alza, wang tunai RM3,000 serta barang kemas bernilai RM8,365,” katanya.
Raub berkata hasil ujian urin mendapati kesemua suspek positif methamphetamine, manakala semakan rekod lampau mendapati dua suspek tempatan mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.
Kesemua suspek direman selama 12 hari bermula 13 Jun lepas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial