WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Usahawan Wanita Digesa Kuasai Teknologi , Cipta Inovasi

04/06/2025 08:50 PM

KANGAR, 4 Jun (Bernama) --Golongan usahawan wanita disaran merebut peluang dalam bidang teknologi dan penyelidikan selaras dengan tuntutan era digital yang menekankan penguasaan teknologi serta keupayaan berinovasi sebagai kunci kejayaan jangka panjang.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Zulfikri Osman berkata pihaknya sentiasa komited membimbing dan menyokong usahawan wanita agar mampu meneroka pasaran baharu, menghasilkan produk inovatif dan membina jenama berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Jangan takut untuk berubah dan meneroka bidang baharu. Masa depan usahawan wanita bukan sahaja cerah, malah penuh potensi untuk mencipta sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup program Women In Search Of Excellence (WISE) 2025 di sini, hari ini, yang dibacakan Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) MARA, Rohayah Mohd Zain.

Majlis penutup program itu disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam pada itu, Zulfikri berkata jumlah usahawan di Perlis mencatatkan peningkatan sebanyak 19.4 peratus, iaitu seramai 3,848 orang pada tahun lalu berbanding 3,222 orang pada 2023.

“Lebih membanggakan, nilai jualan turut meningkat daripada RM273.6 juta kepada RM342 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM68.4 juta atau 25 peratus,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan