WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Letupan Dalam Tanah Berdekatan Pembetung IWK Gemparkan Penduduk Bukit Mertajam

06/06/2025 08:57 PM

BUKIT MERTAJAM, 6 Jun (Bernama) -- Orang ramai yang berada di kawasan Lengkok Perindustrian Bukit Minyak di sini hari ini digemparkan dengan satu letupan di dalam tanah berdekatan pembetung milik Indah Water Konsortium (IWK) yang kemudiannya mengeluarkan asap.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 2.46 petang dan sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian.

Beliau berkata pihaknya mendapati ada bau gas di lokasi dan saksi semasa letupan itu memaklumkan terdapat juga asap.

"Pihak bomba bertindak membuat penilaian dan mengukur bacaan tahap kandungan udara di sekitar lokasi kejadian… operasi turut dibantu oleh unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, dan pemeriksaan bacaan cecair di dalam pembetung mencatatkan tahap neutral," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

John berkata berdasarkan pemeriksaan lanjut, pembetung itu merupakan saluran kumbahan milik IWK dan kejadian tersebut telah dimaklumkan kepada syarikat berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata operasi ditamatkan pada 4.38 petang dan tiada sebarang kecederaan dalam insiden itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan