MACHANG, 2 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki maut manakala 13 individu cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM9.4, Jalan Machang-Pasir Puteh (Banggol Judah), di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Machang Supt Ahmad Shafiki Hussin berkata kejadian kira-kira 11.45 malam itu melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Chevrolet, sebuah Proton Waja dan sebuah Perodua Kancil.
“Siasatan awal mendapati kenderaan pikap Chevrolet dinaiki lima individu dari arah Machang ke Pasir Puteh telah hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Waja dinaiki enam individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata susulan perlanggaran itu, pemandu Proton Waja meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di dalam kenderaan.
“Perodua Kancil yang berada di belakang Proton Waja dan dinaiki tiga individu termasuk kanak-kanak pula turut terlibat kemalangan itu kerana gagal mengelak dan merempuh kenderaan terlibat,” katanya.
Ahmad Shafiki berkata mayat dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat, manakala 13 yang cedera dirawat di hospital sama dan Hospital Tanah Merah.
Beliau berkata kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Fatin Nurhanis Ibrahim menerusi talian 011-1454020 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang 09-9751222.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial