WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bekas Menteri Luar Jerman Baerbock Dipilih Presiden Perhimpunan Agung PBB

03/06/2025 12:56 PM

HAMILTON (Kanada), 2 Jun (Bernama-Anadolu) -- Bekas Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock dipilih pada Isnin sebagai Presiden sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan bermula pada September ini, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Baerbock merakamkan penghargaan atas “sokongan padu” daripada negara anggota terhadap pemilihannya.

Presiden Perhimpunan Agung semasa, Filemon Yang dengan sepenuh hati mengucapkan tahniah kepada Baerbock atas pemilihannya.

“Adalah wajar bahawa pada tahun ke-80 Perhimpunan Agung ini, kepimpinan diserahkan kepada individu yang kerjayanya ditakrifkan oleh komitmen teguh terhadap multilateralisme,” kata Yang.

Menurut beliau, cabaran masa kini amat besar dan komitmen Baerbock untuk bertindak sebagai pengantara yang jujur — mendengar, membina kepercayaan dan memupuk dialog merentasi perbezaan — adalah tepat seperti yang diperlukan oleh Perhimpunan ini.

“Keutamaan kami selari dengan aspirasi masyarakat global,” katanya sambil menyatakan “sokongan penuh” untuk Baerbock.

Dalam ucapannya, Baerbock menzahirkan komitmen untuk berkhidmat kepada semua dan berkata: “Pintu saya sentiasa terbuka untuk semua — lebih baik bersama.”

Objektif utama beliau yang pertama ialah menyokong negara anggota dalam usaha memperbaharui, menumpukan semula dan menjadikan organisasi itu relevan dan sesuai untuk abad ke-21.

Sebagai keutamaan kedua, Baerbock menekankan kepentingan “Pakatan untuk Masa Depan.”

“Ini penting untuk memperkukuh peranan Perhimpunan Agung dalam hal ehwal keamanan dan keselamatan, dengan kerjasama rapat bersama Majlis Keselamatan dan Suruhanjaya Pembinaan Keamanan,” katanya, sambil menambah bahawa keutamaan ketiganya adalah “Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang merangkumi semua pihak.”

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan