WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pasukan Operasi Starlight III Selamat Tiba Di Tanah Air

01/06/2025 11:41 PM

SUBANG, 1 Jun (Bernama) -- Pasukan Operasi Starlight III Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selamat tiba di tanah air malam ini selepas melaksanakan misi bantuan kemanusiaan selama 38 hari di Myanmar susulan kejadian gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac lepas.

Dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa 69 pegawai dan anggota daripada pelbagai kepakaran antaranya Forward Anaesthesia and Surgical Team (FAST), elemen dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) serta pasukan keselamatan tiba di Lapangan Terbang Pangkalan Udara Subang pada 8.30 malam tadi.

Upacara penerimaan rasmi pasukan itu disempurnakan Ketua Staf Markas ATM Left Jen Datuk Azhan Md Othman sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan misi kemanusiaan di bawah panji Hospital Medan Malaysia (HMM).

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Left Jen Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh, Panglima Operasi Udara Left Jen Datuk Masro Kaliwon dan Ketua Staf Markas Angkatan Bersama Mej Jen Datuk Mohamed Fauzi Kamis.

ATM dalam kenyataan memaklumkan operasi Starlight III adalah manifestasi keprihatinan dan solidariti Kerajaan Malaysia terhadap rakyat Myanmar yang terjejas akibat gempa bumi bermagnitud 7.7 skala Richter yang menggegarkan wilayah Sagaing serta lima wilayah lain, disusuli gempa susulan berukuran 6.4 skala Richter yang turut dirasai hingga ke negara jiran termasuk Thailand.

“Misi kemanusiaan berkenaan diketuai oleh Kol Dr Ahmad Farhan Ahmad Fuad selaku Pemerintah Operasi dan secara rasmi diaktifkan pada 18 April dengan penghantaran pasukan ke Sagaing bagi menubuhkan HMM,” menurut kenyataan itu.

HMM mula beroperasi sepenuhnya pada 21 April dengan menyediakan Perkhidmatan Perubatan Tahap 2 kepada penduduk tempatan yang terjejas akibat bencana alam itu.

Sepanjang tempoh operasi, HMM telah memberikan rawatan kepada 3,562 pesakit serta melaksanakan 493 prosedur pembedahan, sekali gus membuktikan kecekapan dan keprihatinan ATM dalam aspek bantuan perubatan kecemasan di kawasan bencana.

Sementara itu, Dr Ahmad Farhan berkata HMM menjadi satu bentuk perlindungan dan pilihan alternatif kepada penduduk awam untuk mendapatkan rawatan kesihatan dengan lebih selamat dan terjamin.

“Kehadiran pasukan perubatan Malaysia membantu meredakan kebimbangan masyarakat setempat yang sebelum ini berasa takut untuk mendapatkan rawatan di kemudahan kesihatan awam susulan konflik bersenjata antara pihak berkepentingan,” katanya.

Pakar Bedah Am HMM Mej Dr Azrul Aminur Rashid Yunus pula berkata sepanjang menjalankan misi bantuan kemanusiaan, pasukan berhadapan pelbagai kes antaranya kes kecemasan dan kes yang memerlukan intervensi awal.

“Bagi pembedahan pula, kami melakukan pembedahan trauma akibat gempa bumi serta pembedahan khas antaranya rekonstruksi cleft palate, pembuangan tumor payudara dan pembedahan tiroid,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan