WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penggunaan LPG Kurang 42kg Tidak Perlu Permit Barang Kawalan Berjadual - KPDN

30/05/2025 10:18 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekali lagi menjelaskan penggunaan tong gas bersubsidi tidak melebihi 42 kilogram (kg) atau tiga tong gas bersubsidi bersaiz 14kg pada satu-satu masa tidak memerlukan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB). 

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam bagaimanapun berkata perniagaan yang menggunakan LPG melebihi 42kg pada satu-satu masa dinasihatkan membuat permohonan PBKB melalui Sistem Sokongan Elektronik Perlesenan Perniagaan (BLESS) 2.0. 

“Peruntukan undang-undang sedia ada di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang berkuat kuasa sejak 15 Okt 2021 menggariskan penggunaan LPG melebihi 42kg memerlukan permohonan PBKB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sepanjang Operasi Gas Memasak (OPS GASAK) bermula 1 Mei hingga 31 Okt ini, KPDN tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada perniagaan perkhidmatan jualan makanan dan minuman berhubung keperluan memiliki PBKB bagi LPG.

Sebaliknya, pemeriksaan itu hanya di peringkat advokasi, semakan dan pemakluman tanggungjawab pematuhan kepada undang-undang dan peraturan berkenaan.

“Pada masa sama, sepanjang tempoh OPS GASAK, para pembekal LPG dibenarkan untuk terus membuat pembekalan tong LPG bersubsidi kepada pelanggan sedia ada, termasuk para peniaga perkhidmatan jualan makanan dan minuman meskipun mereka belum memiliki PBKB,” katanya. 

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata mana-mana pihak yang tidak menggunakan silinder LPG melebihi 3 tong 14kg iaitu melebihi 42kg pada satu-satu masa tidak perlu khuatir kerana mereka tidak tertakluk kepada peraturan untuk memohon permit.

Sehubungan itu, bersandarkan kepada Peraturan 2021, beliau berkata premis jualan makanan yang tidak menyimpan atau menggunakan tong LPG bersubsidi tidak melebihi 3 tong pada satu-satu masa tidak diwajibkan memiliki PBKB.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan