WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sindiket Penipuan Pekerjaan Isu Utama Di Bawah Kepemimpinan Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN

30/05/2025 09:49 PM

PUTRAJAYA, 30 Mei (Bernama) -- Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap sindiket penipuan pekerjaan rentas sempadan, dengan meletakkan isu itu sebagai keutamaan dalam agenda serantau.

Kementerian Luar juga dikenali sebagai Wisma Putra, dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata pihaknya memandang serius isu sindiket penipuan pekerjaan.

Kementerian itu turut merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dan pihak media, atas usaha berterusan mengetengahkan nasib rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di seluruh rantau ini.

“Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN dan semua pihak berkepentingan termasuk masyarakat sivil bagi memperkukuh langkah pencegahan, meningkatkan kerjasama serantau dan memastikan perlindungan untuk semua mangsa,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar berkata pihaknya telah mengambil langkah konkrit untuk membangkitkan isu ini bersama negara anggota ASEAN, termasuk semasa Mesyuarat Pemukiman Menteri Luar ASEAN di Langkawi pada Januari lalu dan Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-29 yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 awal minggu ini.

Dalam Mesyuarat Pemukiman Menteri Luar ASEAN di Langkawi, para menteri mengulangi komitmen bersama untuk menangani jenayah rentas sempadan, termasuk penyeludupan manusia, pemerdagangan orang, pengedaran dadah, jenayah siber, pengubahan wang haram serta ancaman penipuan dalam talian yang semakin meningkat.

Ketika Mesyuarat Majlis APSC ke-29 yang berlangsung serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Malaysia menegaskan keperluan mendesak untuk tindakan serantau yang tegas dalam membanteras jenayah rentas sempadan.

Sehubungan itu, para Menteri ASEAN bersetuju untuk menyemak semula Pelan Tindakan ASEAN Memerangi Jenayah Rentas Sempadan (2016–2025) bagi tujuan memperkukuh kerjasama dan mekanisme penyelarasan serantau, serta memastikan dokumen pengganti - yang sedang dibangunkan - mampu menangani ancaman jenayah baharu dan yang sedang berkembang. 

Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, para pemimpin ASEAN turut menyatakan tekad untuk mempergiat kerjasama di bawah Mesyuarat Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC), dengan penekanan kepada kerjasama penguatkuasaan undang-undang dan menangani jenayah rentas sempadan, khususnya ancaman penipuan dalam talian dan pemerdagangan orang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan