WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Master Tec Cadang Pindah Ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

30/05/2025 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Master Tec Group Bhd bercadang memindahkan penyenaraiannya ke Pasaran Utama Bursa Malaysia dalam tempoh kurang daripada dua tahun selepas penampilan sulung syarikat itu di Pasaran ACE pada Januari 2024.

Cadangan itu yang juga termasuk pindaan berkaitan perlembagaan syarikat, menggariskan prestasi kewangan Kumpulan yang teguh, kematangan operasi dan keyakinan pelabur yang semakin meningkat.

Pengarah Eksekutifnya Tee Kok Hwa berkata pemindahan ke Pasaran Utama menandakan fasa seterusnya dalam perjalanan korporat selain menyelaraskan strategi jangka panjang pelabur dan akses pasaran modal yang lebih teguh.

"Kami percaya pemindahan ini bukan sahaja akan meningkatkan profil korporat dan capaian pelabur kami terutamanya dalam kalangan pelabur institusi, tetapi juga meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelanggan, pembekal, pekerja dan pihak berkepentingan.

“Ia meletakkan kami dengan baik untuk memanfaatkan pelaburan Malaysia yang semakin meningkat dalam peralihan tenaga, pemodenan infrastruktur dan pembangunan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan keputusan kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2024, Kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti disatukan (PATAMI) yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat sebanyak RM27.01 juta.

Sepanjang tiga tahun kewangan yang lepas iaitu dari tahun kewangan 2022 hingga tahun kewangan 2024, Kumpulan mencapai PATAMI terlaras agregat sebanyak RM73.30 juta, melepasi ambang minimum RM20 juta yang diperlukan di bawah ujian keuntungan Garis Panduan Ekuiti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Sebagai tambahan kepada rekod prestasi pendapatannya, Master Tec mengekalkan kedudukan kewangan yang aktif dengan nisbah semasa 1.81 kali, nisbah gearan 0.35 kali dan pendapatan tertahan sebanyak RM93.8 juta pada 31 Dis, 2024.

Kumpulan juga melaporkan aliran tunai operasi bersih yang positif sebanyak RM29.88 juta pada tahun kewangan 2024 sekali gus mengukuhkan kecairan kewangannya

Pada 15 Mei 2025, dengan permodalan pasaran kira-kira RM1.04 bilion pada tarikh praktik terkini, nilai saham Kumpulan meningkat lebih daripada dua kali ganda sejak penyenaraian Pasaran ACE sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur yang kukuh.

Sehingga 5 petang hari ini, harga saham Master Tec ditutup pada RM1.06 dengan 1.07 juta saham diniagakan yang mencerminkan modal pasaran sebanyak RM1.08 bilion.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan