WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WEF ASEAN 2025 Himpun Lebih 100 Penceramah, Ahli Panel

30/05/2025 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Lebih 100 penceramah serta ahli panel dari dalam dan luar negara bakal berhimpun pada Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025, dari 19 hingga 21 Jun ini.

Presiden WEF ASEAN 2025 Datin Dr Hartini Osman berkata forum tiga hari yang diadakan di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini itu akan menampilkan 24 sesi selari, enam sesi bengkel, sembilan sesi meja bulat dan empat sesi sembang santai.

“Sebanyak 67 penceramah dari luar negara dan 51 dari dalam negara akan terlibat, mewakili kira-kira 40 negara keseluruhannya termasuk delegasi ASEAN. Setakat hari ini, sebanyak 400 orang peserta akan menyertai forum ini,” katanya pada majlis pelancaran eksklusif bagi memperkenalkan barisan penceramah, penaja dan pempamer di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Integrasi Ekonomi ASEAN MITI Sugumari S. Shanmugam.

Forum bertemakan ‘Pemimpin Wanita Melangkaui Sempadan: Membentuk Masa Depan Ekonomi Wanita ASEAN’ dijangka dilancarkan oleh isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut menyampaikan beberapa anugerah dan ucaptama oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Hartini berkata WEF juga akan menjadi platform untuk mengetengahkan produk yang diusahakan oleh kaum wanita bukan sahaja dari Malaysia, malah ASEAN dan seluruh dunia.

“Setakat ini ada empat produk dan kita masih buka lagi kepada mereka yang ingin melancarkan produk. Kita bagi platform ini secara percuma untuk mereka dan kita juga ada platform untuk padanan perniagaan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata WEF turut menganjurkan majlis makan malam Gala pada hari terakhir dan resolusi daripada forum itu akan dibentangkan kepada menteri dan negara terlibat.

WEF adalah forum berprestij yang dianjurkan bagi menyokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 yang mengangkat kepimpinan wanita, keusahawanan dan pemerkasaan ekonomi di rantau ASEAN.

Ia dianjurkan bersama Yayasan Bina Kesejahteraan, Yayasan Basmi Kemiskinan dan Majlis Perniagaan Malaysia-India dengan kerjasama MITI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan