WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sidang Kemuncak ASEAN Serlah Perpaduan Serantau, Aspirasi Bersama - Agong

27/05/2025 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan penghormatan negara, menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 serta Sidang Kemuncak Berkaitan, dan menyifatkan ia sebagai cerminan komitmen kolektif rantau ini terhadap keamanan, kemakmuran dan perkongsian dalam dan luar ASEAN.

Dalam titah Seri Paduka Baginda pada Majlis Santapan Tengah Hari Diraja di Istana Negara sempena sidang kemuncak itu, Sultan Ibrahim bertitah penganjuran Sidang Kemuncak tersebut hadir pada tempoh masa yang amat penting, di tengah-tengah kerumitan global yang semakin meningkat.

"Sidang kemuncak ini diadakan semasa dunia menjadi semakin sukar. Menjadi harapan saya agar ASEAN dan rakan kongsinya akan terus bersatu dan saling menghormati, untuk membina masa depan yang inklusif, berdaya tahan dan berpandangan ke hadapan," titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim turut berkenan menzahirkan ucapan selamat datang kepada semua pemimpin ASEAN, serta pemimpin dari Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China, dan menekankan komitmen Malaysia untuk memupuk hubungan serantau dan antara wilayah yang lebih baik.

“Saya berharap semua perwakilan dapat berbincang dengan baik dan mendapat keputusan yang berjaya. Semoga sepanjang tempoh berada di sini, anda dapat mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama yang menyatukan kita.

“Sekali lagi saya mengucapkan selamat datang ke Malaysia. Walaupun ini mungkin lawatan yang singkat, saya berharap anda dapat menikmati layanan mesra Malaysia,” titah Seri Paduka Baginda.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir pada Majlis Santapan itu.

Antara pemimpin ASEAN yang hadir ialah Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra; Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong; Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr;  Presiden Indonesia Prabowo Subianto; Perdana Menteri Kemboja Hun Manet; Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone; dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh.

Turut hadir Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao. 

Antara yang mewakili GCC pula ialah Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman bin Hamad Al Khalifa; Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah; dan Timbalan Perdana Menteri Oman Sayyid Asaad bin Tarik al Said.

Hadir sama Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al Saud; dan Ahli Majlis Tertinggi UAE dan Pemerintah Ras Al Khaimah Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi.

China diwakili oleh Perdana Menteri Li Qiang.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bermula di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam, diteruskan hari ini dengan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung kalinya.

Dialog peringkat tinggi ini menghimpunkan pemimpin dari negara anggota untuk membincangkan perkembangan serantau dan melakar hala tuju masa depan kumpulan serantau itu.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 diadakan di bawah Kepengerusian Malaysia ASEAN 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kelestarian”, dan ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, selepas jawatan pengerusinya sebelum ini pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan