KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyifatkan platform Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) 2025 sebagai medium penting membina kefahaman, rangkaian hubungan, kerjasama, dan kepimpinan dalam kalangan wanita yang menjadi langkah penting memacu ekonomi.
Beliau berkata ekosistem yang inklusif perlu diwujudkan bagi memperkasakan penyertaan wanita dalam kepimpinan di semua peringkat.
“Langkah-langkah proaktif perlu terus diambil untuk menambah baik ekosistem sedia ada serta memperkukuh representasi wanita sebagai pemimpin dalam sektor korporat dan profesional,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas utama dalam membentuk generasi yang berilmu, berdaya saing, dan berintegriti.
Fadhlina berkata ia juga selari dengan laporan Bank Dunia yang menunjukkan bahawa pendidikan berkualiti dapat meningkatkan daya saing sesebuah negara.
“Hanya pendidikan dapat mengubah taraf kehidupan seseorang,” katanya.
AWES 2025 yang julung kali diadakan selama dua hari bermula Sabtu lepas, berlangsung bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.
Bertemakan Empowering Women, Energising ASEAN: Pioneering Economic Integration for a Resilient Tomorrow, sidang kemuncak ini menekankan keperluan mendesak untuk meletakkan wanita di barisan hadapan dalam transformasi ekonomi ASEAN, terutamanya dalam menangani cabaran semasa seperti perang tarif global, transformasi digital dan pembangunan mampan.
Ia turut menampilkan sesi perbincangan, percambahan fikiran strategik, bengkel kepimpinan serta program bimbingan kepimpinan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial