WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Piala Asia: Ahmad Jais Akui Regu Berpasukan Negara Belum Cukup Kuat

18/05/2025 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Ketua jurulatih sepak takraw negara Ahmad Jais Baharun mengakui pasukan bimbingannya belum cukup kuat selepas tumpas kepada Thailand pada perlawanan akhir acara regu berpasukan di Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 hari ini.

Ahmad Jais berkata beliau akan membuat penilaian penuh bagi memastikan skuad negara dapat menewaskan seteru utama itu pada kejohanan yang akan datang.

“Secara peribadi, saya lihat pasukan kita masih belum cukup baik. Saya rasa pasukan kita perlu melipatgandakan usaha untuk mengekang asakan Thailand.

“Kalau kita lihat prestasi Thailand, mereka bermain dengan lebih kemas dari segi serangan dan juga pertahanan. Itu yang saya rasa membezakan kita dan pasukan Thailand,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan akhir di Stadium Titiwangsa di sini.

Terdahulu pada aksi final acara regu berpasukan Piala Asia 2025, skuad negara terpaksa akur tumpas 0-2 di tangan Thailand sekali gus gagal menamatkan kemarau 34 tahun negara dalam acara regu berpasukan.

Trio regu negara pertama, Amirul Zazwan Amir (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) tewas 11-15, 15-12, 15-17 di tangan Thailand.

Regu kedua negara yang dibarisi Farhan Adam, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin yang diletakkan sebagai harapan untuk menghidupkan peluang Malaysia pada perlawanan akhir itu juga gagal meraih kemenangan selepas tewas 15-13, 13-15, 4-15.

Dalam pada itu Ahmad Jais berkata meskipun kecewa gagal meraih kemenangan dalam acara regu berpasukan, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada anak buahnya yang beraksi sehabis baik pada perlawanan akhir itu.

“Pemain sudah cuba yang terbaik dan kita perlu terima keputusan ini dengan hati terbuka. Kita perlu bekerja lebih keras untuk mempertingkatkan mutu permainan pada masa akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan