WILAYAH - SELATAN > BERITA

MOHAMAD AMIRULFARIS BERHASRAT BELI RUMAH - RAKAN BAIK

24/04/2024 08:28 PM

SEREMBAN, 24 April (Bernama) -- Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut semalam, berhasrat membeli rumah di Perak untuk keluarganya.

Rakan baik Allahyarham, Leftenan Komander Helman Hashim, 35, berkata beliau diamanahkan oleh rakannya itu untuk menghantar dokumen permohonan pembelian rumah tersebut kepada bahagian pinjaman perumahan Kementerian Pertahanan baru-baru ini.

"Allahyarham ada meminta bantuan saya untuk menyerahkan beberapa dokumen berkenaan pembelian rumah buat isteri dan anak-anaknya, saya hantar borang itu pada Selasa lepas.

"Saya mengenalinya sejak 2007, kami berkawan baik dan dia juga amat disenangi dengan semua anggota sama ada di peringkat junior atau senior," katanya kepada pemberita di kediaman keluarga Allahyarham di Taman Senawang Perdana di sini hari ini.

Helman berkata Allahyarham juga merupakan seorang pegawai yang bijak dan pemergiannya satu kehilangan besar untuk warga TLDM.

"Saya ada hubungi Allahyarham pagi semalam, tapi tak dapat. Saya dapat tahu kejadian ini kerana bertugas di pejabat bahagian operasi Markas TLDM. 

"Pada awalnya namanya tiada dalam senarai mangsa pertama, tetapi beberapa minit kemudian namanya ada...saya sangat sedih dengan kejadian menimpa rakan baik saya itu," katanya yang turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga arwah

Mohammad Amirulfaris meninggalkan seorang balu, Siti Aisyah Mohd Roslan dan dua anak Umar Fayyadh dan Ammar Affan.

Tragedi pada 9.32 pagi semalam yang membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6) semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 itu, mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan