TINTA MINDA

Masyarakat Berilmu Citra Pembangunan Pendidikan Keinsanan

08/07/2025 01:57 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Hasri Harun

Pendidikan merupakan teras utama dalam pembentukan tamadun yang unggul. Dalam kerangka pembangunan negara, pendidikan tidak seharusnya terhad kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi perlu menjurus kepada pembangunan insan secara menyeluruh.

Ini bermaksud membentuk individu yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani (JERI). Membangun citra pembangunan pendidikan insan membawa maksud melahirkan manusia yang berilmu, berakhlak, beriman dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

Oleh kerana itu Islam meletakkan pendidikan sebagai satu tuntutan asas dalam kehidupan.

Ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah perintah untuk membaca, menunjukkan bahawa pencarian ilmu adalah asas kepada pembangunan insan yang mulia . Firman Allah dalam al-Quran :

Maksudnya: "Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan."(Surah al‘Alaq, 96:1)

Ayat ini menandakan bahawa pendidikan bermula dengan pengiktirafan kepada Tuhan sebagai asas segala ilmu.

Ilmu bukan sekadar alat untuk mencari rezeki, tetapi adalah kunci kepada kefahaman tentang kehidupan, tanggungjawab sebagai hamba Allah dan peranan sebagai khalifah di bumi. Begitu juga dalam ayat yang lain Allah SWT juga berfirman:

Maksudnya: "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah :11)

Ini jelas membuktikan bahawa dalam Islam, pembangunan insan bermula dengan keimanan dan diperkuatkan dengan ilmu pengetahuan.

Rasulullah SAW sangat menekankan kepentingan ilmu dan pembentukan akhlak dalam pendidikan. Ini jelas dalam hadis Baginda yang bermaksud:

"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."(Riwayat Ahmad)

Objektif utama pendidikan bukan semata-mata melahirkan manusia berilmu, tetapi insan yang berakhlak tinggi.

Pendidikan insan perlu membina jiwa yang luhur, yang tunduk kepada Tuhan, berbakti kepada ibu bapa, berbuat baik kepada masyarakat, serta bertanggungjawab kepada alam dan negara. Dalam hadis yang lain juga Rasulullah SAW juga bersabda:

Maksudnya :"Barang siapa menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan ke syurga."(Riwayat Muslim)

Jelas bahawa proses pendidikan insan adalah jalan menuju kejayaan dunia dan akhirat.

Sistem Pendidikan Moden

Realitinya, sistem pendidikan moden kini lebih menumpukan kepada pencapaian akademik berasaskan peperiksaan. Aspek sahsiah dan kerohanian semakin terpinggir.

Pelajar dihargai berdasarkan keputusan peperiksaan, bukan pada nilai moral atau karakter mereka. Akibatnya, kita melihat peningkatan gejala sosial, tekanan mental, dan hilangnya arah tuju dalam kalangan belia.

Ledakan maklumat digital pula menjadikan remaja lebih mudah terdedah kepada anasir negatif. Maka, pendidikan hari ini mesti mengambil pendekatan menyeluruh yang mampu membentuk daya tahan dalaman serta memberi makna hidup yang sebenar berpaksikan nilai agama.

Membangun citra pendidikan insan memerlukan pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu. Antara pendekatan yang harus diberi perhatian adalah :

  1. Kurikulum yang seimbang: Antara ilmu dunia dan ilmu akhirat. Pelajar perlu diajar bukan sahaja Sains dan Matematik, tetapi juga ilmu akidah, akhlak, dan pemikiran kritis berteraskan nilai.
  2. Peranan guru sebagai murabbi: Guru bukan sekadar penyampai maklumat, tetapi pembimbing ruhani dan model akhlak. Rasulullah SAW sendiri ialah pendidik agung, dan setiap guru harus meneladani sifat sabar, kasih sayang dan hikmah baginda.
  3. Penglibatan ibu bapa dan masyarakat: Nabi Muhammad SAW bersabda:

Maksudnya:"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibu bapanyalah yang mencorakkan dia menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ini menunjukkan pentingnya peranan keluarga dalam pendidikan insan. Sekolah tidak boleh memikul tanggungjawab ini bersendirian.

4. Pengukuhan nilai Madani: Dalam konteks Malaysia Madani, pendidikan insan perlu mencerminkan rukun- rukun seperti ihsan, hormat, dan daya cipta – nilai-nilai yang juga terkandung dalam ajaran Islam. Ihsan sebagai contoh, mendidik insan untuk sentiasa melakukan yang terbaik kerana sedar Allah sentiasa memerhati:

Maksudnya: "Ihsan itu ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekiranya engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pendidikan Insan

Pendidikan insan bukan sekadar idealisme, tetapi keperluan masa depan. Negara memerlukan generasi muda yang bukan hanya bijak dalam bidang profesional, tetapi juga jujur, amanah, berakhlak, dan memiliki empati.

Pembangunan ekonomi dan kemajuan teknologi tidak bermakna jika insan yang mengendalikannya tidak bermoral. Untuk itu, pelaburan paling penting adalah dalam pembangunan pendidikan yang membina jiwa.

Institusi pendidikan perlu menjadi medan pembangunan insan bukan kilang menghasilkan robot akademik. Setiap subjek harus menjadi wahana membentuk kefahaman hidup, bukan sekadar fakta dan teori.

Kesimpulannya, membangun citra pembangunan pendidikan insan merupakan langkah penting ke arah membentuk masyarakat yang berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab.

Islam sendiri meletakkan asas yang kukuh dalam pembentukan insan melalui ilmu dan tarbiah.

Dalam menghadapi cabaran dunia moden yang semakin mencabar, hanya pendidikan yang menekankan keseimbangan rohani dan jasmani, intelek dan sahsiah, mampu melahirkan insan kamil.

Inilah asas kepada pembangunan negara yang benar-benar berjiwa besar dan berjiwa hamba.

-- BERNAMA

Hasri Harun ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Pendidikan dan Sains

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)