TINTA MINDA

Hijrah Diri, Hijrah Ummah Untuk Kesejahteraan Negara

04/07/2025 09:03 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Atriza Umar

Tahun baharu hijrah 1447 bukan sekadar menandakan permulaan tahun baru dalam kalender Islam.

Ia adalah detik kebangkitan jiwa, refleksi perjalanan hati, dan seruan kepada umat Islam untuk menghayati makna sebenar hijrah, dalam konteks satu perubahan menyeluruh daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kekakuan kepada kesedaran, dan daripada ego kepada empati.

Hijrah bukan semata-mata peristiwa sejarah Nabi SAW berpindah dari Mekah ke Madinah, tetapi ia adalah simbol perjuangan dalaman untuk berubah demi kemaslahatan diri, masyarakat dan negara.

Gerakan Spiritual dan Sosial

Hijrah Rasulullah SAW adalah titik tolak pembinaan sebuah tamadun. Ia adalah permulaan kepada negara Islam yang pertama, berteraskan keadilan, persaudaraan dan nilai-nilai murni.

Namun sebelum hijrah berlaku secara geografi, hijrah terlebih dahulu berlaku dalam jiwa para sahabat: dari keyakinan palsu kepada tauhid sejati, dari kepentingan diri kepada perjuangan kolektif, dan dari kebencian kepada kasih sayang.

Sabda Nabi SAW:

“Seorang Muhajir itu ialah orang yang berhijrah daripada apa yang dilarang oleh Allah.” (HR Bukhari & Muslim)

Hakikatnya, hijrah adalah proses membebaskan diri daripada belenggu hawa nafsu, keangkuhan dan kejahilan menuju kepada keinsafan, tawadhu’ dan ilmu.

Maka, menjelang 1447H ini, umat Islam diseru melakukan hijrah secara holistik dalam hati, akhlak, hubungan, masyarakat seterusnya kepada kepimpinan.

Hijrah Hati: Dari Dengki kepada Syukur

Antara penyakit hati paling merosakkan ialah hasad dengki. Ia membakar amalan, merosakkan ukhwah dan memutuskan kasih sayang. Hijrah hati menuntut kita meninggalkan rasa benci kepada nikmat orang lain dan menggantikannya dengan doa dan empati.

Islam mengajar kita untuk meraikan kejayaan orang lain seperti kita meraikan kejayaan diri sendiri.

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu dirahmati.” (Surah Al-Hujurat: 10)

Insya-Allah, melalui hijrah hati menjadikan kita insan yang pemaaf, penyayang dan penuh syukur.

Hijrah Peribadi: Dari Ego kepada Empati

Ego adalah musuh terbesar dalam membina hubungan. Ia memutuskan silaturrahim, menumbuhkan sikap suka menyalahkan orang lain dan menutup ruang untuk menerima nasihat.

Sebaliknya, empati adalah akar kepada kasih sayang, toleransi dan kemanusiaan. Hijrah diri memerlukan kita menundukkan ego dan membuka hati untuk memahami cabaran orang lain.

Di Malaysia hari ini, perbalahan politik, perpecahan keluarga, dan polarisasi kaum boleh diredakan jika kita berhijrah kepada empati.

Dengarlah dahulu sebelum menghukum. Hulurkan tangan sebelum mengangkat suara. Nabi SAW adalah contoh agung dalam empati. Baginda menangis apabila umatnya menderita dan tersenyum apabila umatnya bahagia.

Hijrah Keluarga: Dari Individualisme kepada Kolektifisme

Masyarakat yang sejahtera lahir daripada keluarga yang utuh. Namun hari ini, ramai yang mengeluh akan keretakan institusi keluarga. Anak-anak hilang arah, ibu bapa hilang sabar, pasangan suami isteri hilang hormat.

Hijrah keluarga bermula apabila setiap anggota berhenti menyalahkan dan mula bertanggungjawab. Komunikasi yang jujur, waktu yang berkualiti, dan doa yang ikhlas mampu menjadi ubat kepada luka keluarga.

Sabda Nabi SAW:

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik kepada keluarganya, dan aku adalah yang terbaik kepada keluargaku.” (HR Tirmizi)

Ayuh, berhijrah daripada kesibukan dunia kepada keutamaan keluarga. Kembali duduk makan bersama. Kembali mendengar luahan anak. Kembali menghargai pasangan. Inilah jihad di zaman moden.

Hijrah Sosial: Dari Kepentingan Diri kepada Khidmat Ummah

Kita hidup dalam masyarakat yang semakin individualistik. Budaya ‘asal aku selamat,’ ‘bukan urusan aku’ dan ‘aku lebih penting dari orang lain’ menjadi racun yang merosakkan semangat persaudaraan.

Langkah terbaik adalah melalui hijrah sosial iaitu mengajak kita kembali kepada asas Islam iaitu membantu orang lain sebelum membantu diri.

Di Madinah, Rasulullah SAW membina masyarakat yang saling membantu, menyantuni golongan lemah, dan meraikan perbezaan. Inilah model hijrah yang sebenar, yang sewajarnya kita tiru.

Dengan sebaris kata mudahnya, mari kita mulakan dengan menyantuni jiran tetangga, membantu gelandangan, menyokong ibu tunggal, dan berdiri bersama mangsa bencana.

Hijrah Kepimpinan: Dari Kuasa kepada Amanah

Hijrah juga berlaku pada skala negara dan kepimpinan. Pemimpin hari ini perlu berhijrah dari melihat kuasa sebagai keistimewaan kepada melihatnya sebagai amanah.

Hijrah daripada populisme kepada prinsip. Daripada menanam kebencian kepada memacu perpaduan.

Nabi Muhammad SAW memimpin Madinah dengan hikmah dan kasih sayang, menyatukan Aus dan Khazraj, melindungi golongan minoriti, dan menzahirkan pentadbiran berasaskan maqasid syariah.

Malaysia Madani yang kita dambakan hanya akan menjadi kenyataan apabila para pemimpinnya berhijrah dari retorik kepada solusi, dari kronisme kepada meritokrasi, dan dari dendam kepada kemaafan.

Hijrah Minda: Dari Jahil kepada Ilmu

Tiada hijrah yang lebih agung selain hijrah dari kejahilan kepada ilmu. Umat yang berilmu ialah umat yang mampu mengubah dunia. Umat yang malas membaca, enggan belajar dan terperangkap dalam teori konspirasi akan terus lemah dan mundur.

Tahun 1447H seharusnya menyaksikan kebangkitan semula budaya ilmu dalam masyarakat Malaysia. Di rumah, di sekolah, di masjid, di kampus, bahkan di TikTok dan YouTube, kita perlu galakkan budaya membaca, mendengar ceramah berilmu, dan menulis untuk manfaat ummah.

Firman Allah:

“Allah akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadilah: 11)

Hijrah Itu Bermula Sekarang

Hijrah bukan hanya cerita lalu. Ia adalah seruan untuk berubah hari ini. Setiap orang punya titik mula hijrah mereka sendiri. Barangkali, dari meninggalkan dosa, memperbaiki hubungan, memperbaharui niat, atau membina semula harapan yang runtuh.

Marilah kita sambut 1447H ini dengan azam yang jelas iaitu berhijrah dari diri yang lama kepada diri yang lebih taqwa, lebih berilmu, lebih berempati dan lebih menyumbang.

Jika setiap individu berhijrah dengan sebenar-benar hijrah, maka ummah ini akan bangkit sebagai umat rahmah yang dinantikan dunia.

Hijrah bukan sekadar berpindah lokasi. Hijrah adalah berpindah dari kegelapan kepada cahaya. Dari dendam kepada pemaafan. Dari ego kepada empati. Dari aku kepada kita. Dan, mari kita mulakan sekarang.

Selamat Tahun Baharu 1447H.

-- BERNAMA

Atriza Umar ialah Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan Masyarakat Pertubuhan IKRAM Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)