Ketagihan ketum dalam kalangan generasi muda semakin membimbangkan kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal dan mental, malah turut memberi impak negatif terhadap sosioekonomi dan masa depan golongan ini.
Ketum atau Mitragyna speciosa merupakan tumbuhan tropika yang daunnya digunakan secara tradisional sebagai ubat, namun kini telah disalahgunakan.
Ketum mengandungi alkaloid seperti mitragynine dan 7-hydroxymitragynine yang pada asalnya digunakan sebagai ubat tradisional untuk melegakan sakit ringan dan meningkatkan tenaga.
Namun, apabila diambil secara berterusan dalam dos yang tinggi atau dicampur dengan bahan lain seperti ubat batuk, minuman tenaga, pil tidur atau dadah sintetik ia boleh mengakibatkan kesan negatif seperti ketagihan, halusinasi, kemurungan, serangan sawan dan dalam kes yang teruk, kerosakan organ dalaman.
Hal ini menunjukkan satu krisis kesihatan awam yang memerlukan pendekatan holistik dan bersepadu daripada pelbagai pihak untuk membendung gejala ini daripada berleluasa.
Impak Negatif Ketum
Menurut kajian Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2023, seramai 22,728 individu terlibat dalam penyalahgunaan bahan psikoaktif dan ketum merupakan antara bahan utama yang dikesan digunakan oleh remaja lelaki berumur 13 hingga 24 tahun terutamanya di kawasan luar bandar seperti di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Kajian tersebut turut menunjukkan peningkatan penggunaan air ketum yang dicampur dengan bahan lain seperti ubat batuk atau minuman tenaga yang mempercepatkan kesan euforia dan meningkatkan risiko kerosakan organ dalaman.
Sebagai contoh, satu kes yang dilaporkan di negeri Kedah melibatkan seorang pelajar sekolah menengah yang mengalami kerosakan buah pinggang akibat mengambil air ketum secara harian selama enam bulan.
Kesan ketum tidak terhad kepada kesihatan fizikal, malah turut mengganggu perkembangan kognitif dan mental remaja.
Kajian oleh Universiti Malaya (UM) pada tahun 2022 mendapati bahawa penggunaan ketum secara berterusan selama lebih enam bulan boleh menyebabkan penurunan daya ingatan sebanyak 25% dan gangguan tidur kronik dalam kalangan remaja.
Tambahan pula, pengguna ketum kalangan generasi muda cenderung untuk mengalami masalah emosi seperti kemurungan dan keresahan yang kronik, seterusnya menjejaskan hubungan sosial dan prestasi akademik mereka.
Contohnya, satu kajian kes di Kelantan melaporkan bahawa seorang pelajar Tingkatan Lima yang ketagih ketum terpaksa berhenti sekolah selepas mengalami gangguan mental dan hilang minat terhadap pelajaran.
Keadaan ini semakin rumit apabila pengambilan ketum menjadi "normal" dalam budaya sesetengah remaja lelaki yang menganggapnya sebagai alternatif selamat kepada dadah kerana ia berasal dari tumbuhan. Hakikatnya, persepsi ini sangat mengelirukan dan berbahaya.
Dari aspek sosial dan jenayah, ketum turut dikaitkan dengan peningkatan masalah disiplin di sekolah, kecenderungan kepada jenayah kecil seperti mencuri untuk mendapatkan wang membeli bahan tersebut dan pelanggaran undang-undang. Laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2023 menunjukkan peningkatan sebanyak 18% dalam kes penyeludupan dan pemprosesan ketum secara haram yang sering melibatkan remaja sebagai penghantar atau pengedar kerana mereka mudah dipengaruhi dan kurang kesedaran tentang undang-undang.
Di Perak misalnya, terdapat satu kes yang mana sekumpulan pelajar sekolah menengah ditahan kerana menjual air ketum di perkarangan sekolah untuk mendapatkan wang poket tambahan.
Situasi ini menunjukkan bahawa ketum bukan sahaja menjadi bahan penyalahgunaan tetapi juga mencetuskan rangkaian aktiviti jenayah dalam kalangan generasi muda.
Tambahan pula, kesan ketagihan boleh menyebabkan mereka mengabaikan tanggungjawab keluarga, menjauhi aktiviti sihat dan terperangkap dalam kitaran hidup tidak produktif yang sukar dipulihkan.
Lebih membimbangkan, ketagihan ketum turut menjadi pintu masuk kepada dadah yang lebih kuat seperti syabu, heroin dan pil kuda.
Kajian oleh Pusat Penyelidikan Dadah dan Ketagihan (CEDAR), Universiti Sains Malaysia (USM) menunjukkan bahawa 32% pengguna ketum dalam kalangan belia pernah mencuba dadah lain selepas menggunakan ketum secara tetap.
Fenomena ini dikenali sebagai "gateway effect", yang mana ketum menjadi titik permulaan kepada penyalahgunaan bahan yang lebih berbahaya.
Tambahan pula, kemudahan mendapatkan ketum di pasaran gelap serta penyebaran kandungan di media sosial yang mempromosikan "resepi ketum moden" mempercepatkan lagi penularan fenomena ini dalam kalangan remaja.
Walaupun Akta Racun 1952 telah dipinda bagi mengetatkan kawalan ke atas penggunaan dan pengedaran ketum, penguatkuasaan undang-undang perlu diperhebat dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk pihak sekolah, komuniti dan ibu bapa.
Strategi Menangani Ketagihan
Pendidikan dan kesedaran awal di peringkat sekolah dan komuniti adalah sangat penting kerana pendekatan pendidikan yang berkesan terbukti dapat mengurangkan penyalahgunaan bahan dalam kalangan remaja.
Pendidikan awal tentang bahaya ketum dan kesannya terhadap kesihatan mental dan fizikal perlu diterapkan dalam kurikulum sekolah.
Sebagai contoh, program pendidikan pencegahan dadah di Iceland iaitu model "Icelandic Model for Preventing Adolescent Substance Use" telah berjaya mengurangkan kadar penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja dengan mendidik mereka tentang risiko ketagihan serta membina jaringan sokongan sosial melalui aktiviti kokurikulum dan penglibatan ibu bapa.
Dalam tempoh 20 tahun, kadar penyalahgunaan bahan dalam kalangan remaja Iceland merosot daripada 42% kepada hanya 6%. Model ini boleh dijadikan contoh bagi pelaksanaan dasar serupa di Malaysia.
Pemerkasaan institusi rawatan dan pemulihan juga perlu diberi perhatian dalam menangani ketagihan ketum. Kemudahan pemulihan perlu dilengkapi dengan pendekatan psikologi dan terapi tingkah laku seperti kaunseling individu, terapi keluarga serta program pemulihan berasaskan komuniti.
Sebagai contoh, Thailand yang turut menghadapi isu ketagihan ketum dalam kalangan penduduknya telah memperkenalkan pusat pemulihan bersepadu yang menumpukan kepada pemulihan holistik termasuklah pendekatan keagamaan, pekerjaan dan kemahiran hidup.
Pendekatan ini terbukti berjaya mengurangkan kadar ketagihan berulang dalam kalangan penagih muda sehingga 30% dalam tempoh dua tahun pelaksanaan.
Langkah Malaysia untuk mewujudkan pusat pemulihan komuniti di peringkat daerah boleh diperhebat dengan mencontohi amalan Thailand ini.
Di Amerika Syarikat, program "drug courts" turut menunjukkan kejayaan dalam mengurangkan kadar recidivism. Sebagai contoh, di Midland County, Texas 98% graduan program "drug court" tidak mengalami masalah undang-undang dalam tempoh tiga tahun selepas tamat pengawasan, berbanding hanya 47% dalam kalangan individu yang tidak menyertai program tersebut .
Selanjutnya adalah penguatkuasaan undang-undang yang berkesan. Di Malaysia, penguatkuasaan undang-undang sedia ada seperti Akta Racun 1952 perlu diperketatkan untuk membendung penyalahgunaan ketum.
Namun, pendekatan berbentuk hukuman sahaja tidak mencukupi.
Sebagai ganti atau pelengkap, pendekatan seperti "drug courts" di Amerika Syarikat yang mana penagih diarahkan menyertai program pemulihan dan pemantauan berkala berbanding hukuman penjara telah terbukti dapat menurunkan kadar penagihan semula dan jenayah berkaitan dadah sebanyak 35%.
Malaysia boleh mengkaji pelaksanaan mahkamah khas bagi kes penyalahgunaan ketum yang memberi keutamaan kepada pemulihan berbanding pemenjaraan.
Penglibatan aktif keluarga dan komuniti dalam pencegahan penyalahgunaan bahan terlarang turut disarankan.
Di Iceland, perubahan dalam faktor risiko dan perlindungan telah jelas dan konsisten.
Sebagai contoh peratusan remaja yang dipantau oleh ibu bapa mereka daripada aspek dengan siapa mereka menghabiskan masa pada waktu petang telah meningkatkan peratusan yang ketara dalam penurunan penggunaan bahan terlarang daripada 49% pada tahun 1997 kepada 67% pada tahun 2006 .
Program komuniti seperti rakan sebaya, kem motivasi dan aktiviti sukan turut perlu diperluas agar belia sentiasa terlibat dengan aktiviti sihat.
Negara-negara seperti Australia misalnya telah berjaya menurunkan kadar penyalahgunaan bahan dalam kalangan belia menerusi Program Komuniti Sihat yang menekankan kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan organisasi tempatan dalam menyediakan persekitaran yang positif untuk perkembangan remaja.
Mengatasi masalah ketagihan ketum dalam kalangan generasi muda memerlukan pendekatan bersepadu yang melibatkan pendidikan, rawatan, penguatkuasaan undang-undang dan penglibatan keluarga serta komuniti.
Contoh kejayaan dari luar negara boleh dijadikan panduan kerana tanpa usaha menyeluruh, negara berisiko kehilangan potensi golongan muda yang merupakan aset penting kepada pembangunan negara.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan, Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia.