Oleh Ts Dr Muhammad Azizi Azizan dan Ts Dr Nurfadzillah Ishak
Perlis, sebuah negeri kecil di utara Semenanjung Malaysia, kaya dengan khazanah geologi dan arkeologi yang tidak ternilai.
Salah satu tapak penting ialah Gua Cenderawasih, dahulu dikenali sebagai Gua Sami yang terletak di kawasan formasi batu kapur Chuping.
Gua ini menyimpan kesan tinggalan sejarah awal manusia, termasuk artifak dan bukti arkeologi yang menandakan kewujudan aktiviti prasejarah, selain pernah menjadi tempat keagamaan suatu ketika dahulu.
Namun, baru-baru ini, Gua Cenderawasih menjadi tajuk utama bukan kerana penemuan baharu atau usaha pemuliharaan, tetapi kerana telah diubah suai untuk dijadikan sebuah kedai kopi yang lengkap dengan penataan siling gentian dan dekorasi moden yang langsung tidak sensitif kepada nilai arkeologi tapak tersebut.
Warisan Bukan Untuk Dijual
Gua Cenderawasih bukan sekadar ruang kosong dalam bukit batu kapur. Ia merupakan bukti tinggalan geologi dan manusia purba, berusia ribuan tahun, yang wajar dilindungi dan dipelihara sebagai sebahagian daripada warisan negara.
Walaubagaimanapun, faktor kelulusan yang diberikan oleh pihak berkaitan atas dasar kegiatan vandalisme dan keadaan terbiar terdahulu adalah tidak sama sekali boleh dijadikan asas perubahan konsep dan landskap asal warisan ini malah seharusnya memantau, memulihara dan memelihara lokasi ini menjadi lebih baik tanpa mengubah identiti asal.
Tindakan mengubah suai tapak ini tanpa kajian impak warisan, atau pelan pemuliharaan yang teliti, adalah satu bentuk kemusnahan nilai sejarah yang sukar ditebus.
Lebih membimbangkan, ia membuka pintu kepada insiden serupa di masa hadapan di mana warisan budaya dikomersialkan tanpa kawalan, semata-mata demi keuntungan jangka pendek.
Ketiadaan Garis Panduan Khusus
Isu ini mencerminkan kelemahan yang nyata dalam sistem perlindungan warisan kita, terutamanya di peringkat negeri.
Walaupun Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) memberi kuasa kepada Jabatan Warisan Negara untuk mengisytiharkan sesuatu tapak sebagai Warisan Kebangsaan atau Tapak Warisan, masih banyak tapak arkeologi di negeri-negeri yang tidak didaftarkan atau diklasifikasikan secara rasmi.
Tanpa pengisytiharan formal dan pelan pengurusan yang sah, mana-mana pihak bebas membuat pengubahsuaian ke atas tapak warisan, walaupun tapak tersebut menyimpan nilai sejarah tinggi.
Dalam kes Gua Cenderawasih, soalan yang timbul ialah: Siapakah yang memberi kebenaran untuk pengubahsuaian ini? Adakah penilaian impak warisan pernah dilakukan? Jika tiada, apakah tindakan susulan yang akan diambil oleh pihak berkuasa?
Kesan kepada Warisan Masa Hadapan
Kemusnahan fizikal tapak arkeologi bukan sekadar kehilangan struktur semula jadi. Ia juga bermaksud kehilangan data sejarah, kehilangan peluang penyelidikan, dan kehilangan naratif budaya yang tidak boleh diganti.
Setiap artifak, susunan batu, dan lapisan tanah di tapak arkeologi membawa maklumat penting tentang kehidupan masa silam.
Apabila gua diubah menjadi ruang komersial, konteks asal semua elemen ini akan hilang menjadikan sebarang kajian selepas itu tidak sahih lagi.
Tambahan pula, tindakan sebegini memberi mesej yang salah kepada masyarakat: bahawa tapak warisan boleh "digunakan" sesuka hati selagi ia membawa keuntungan.
Ini bertentangan dengan prinsip pemeliharaan warisan lestari yang sepatutnya didukung oleh seluruh masyarakat.
Peranan Pihak Berkuasa Tempatan dan Masyarakat
Pihak berkuasa tempatan perlu lebih proaktif dalam mengenal pasti dan mengawal penggunaan tapak yang berpotensi tinggi dari segi warisan.
Setiap kelulusan pembangunan harus merangkumi semakan aspek geowarisan dan arkeologi. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan jabatan teknikal berkaitan harus dilibatkan dalam penggubalan garis panduan pembangunan di kawasan sensitif.
Pada masa yang sama, masyarakat sivil dan institusi akademik perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mendidik awam dan memberi tekanan kepada pihak berkuasa agar lebih bertanggungjawab.
Di Universiti Malaysia Perlis, pelbagai penyelidikan berkaitan gua batu kapur dan arkeologi tempatan telah dijalankan, namun tanpa penyelarasan dasar, hasil penyelidikan ini sukar diterjemah menjadi dasar perlindungan yang berkesan.
Penutup: Warisan Bukan Milik Individu
Gua Cenderawasih adalah milik sejarah negara bukan milik individu atau syarikat yang mahu mengejar keuntungan jangka pendek.
Kita tidak menolak pembangunan atau pemanfaatan ruang, tetapi ia mesti dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan sensitiviti terhadap warisan.
Jika kita terus membiarkan tapak seperti Gua Cenderawasih dirosakkan tanpa tindakan tegas, kita akan dikenang sebagai generasi yang gagal mempertahankan akar sejarah sendiri.
Kita akan kehilangan lebih daripada sekadar gua kita akan kehilangan naratif asal kewujudan kita sebagai bangsa yang bertamadun.
-- BERNAMA
Ts Dr Muhammad Azizi Azizan ialah Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam, UniMAP), dan Ts Dr Nurfadzillah Ishak ialah Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Perlis.