SUKAN > BERITA

Ee Wei Selamat Jalani Pembedahan ACL - BAM

01/07/2026 06:08 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Beregu campuran negara Toh Ee Wei selamat menjalani pembedahan lutut kiri di Melbourne, Australia susulan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) yang dialaminya ketika aksi suku akhir Terbuka Singapura pada Mei lepas.

Persatuan Badminton Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan prosedur pembedahan itu berjaya disempurnakan semalam dan pemain berusia 25 tahun itu kini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan serta rehabilitasi.

“BAM akan terus menyediakan sokongan perubatan dan rehabilitasi yang diperlukan sepanjang tempoh pemulihan Ee Wei, selain mendoakan kejayaan beliau untuk kembali beraksi di gelanggang,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Ee Wei melahirkan rasa syukur apabila pembedahan itu berjalan lancar, selain menghargai sokongan yang diterimanya daripada peminat, rakan seperjuangan dan seluruh komuniti badminton sepanjang tempoh sukar yang dilaluinya.

“Saya lega kerana pembedahan berjalan lancar dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua atas sokongan serta doa yang diberikan. Ia amat bermakna buat saya.

“Fokus saya sekarang adalah menjalani proses rehabilitasi dan saya akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk pulih. Saya berharap dapat kembali ke gelanggang dengan lebih kuat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan