KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Lee Chong Wei menyokong langkah badan induk itu menguji gandingan baharu beregu lelaki negara lebih awal sebagai persediaan menghadapi kempen kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Beliau berkata strategi itu selaras dengan usaha BAM untuk memperkukuh peluang Malaysia memburu pingat emas Olimpik pertama negara.
Terdahulu, perhatian tertumpu kepada keputusan BAM menggandingkan Aaron Chia bersama Tee Kai Wun manakala Soh Wooi Yik akan berpasangan dengan Man Wei Chong dalam beberapa kejohanan akan datang sebagai sebahagian daripada penilaian prestasi dan perancangan jangka panjang menjelang kelayakan Olimpik.
"Saya rasa semua sudah melihat berita mengenai Aaron yang akan bergandingan dengan Kai Wun untuk beberapa kejohanan sebagai percubaan. Dalam mesyuarat sebelum ini, saya sudah berpesan supaya jangan ambil tindakan pada saat akhir kerana tahun depan merupakan tahun penting dengan bermulanya kelayakan Olimpik.
"Kebiasaannya pertukaran pasangan dibuat sekitar Januari sebagai persediaan ke Olimpik. Namun, saya beritahu jurulatih supaya tidak menunggu hingga Januari, sebaliknya memulakan percubaan lebih awal sama ada sebelum atau selepas Sukan Asia tahun ini.
"Pada pandangan jurulatih, gandingan ini mempunyai potensi untuk menghadiahkan pingat emas pertama Olimpik kepada negara," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini.
Legenda badminton negara itu berkata beberapa kuasa besar badminton dunia telah mula mencuba gandingan baharu sejurus selepas Sukan Olimpik Paris 2024 bagi mencari kombinasi terbaik untuk kitaran Olimpik seterusnya.
"Saya fikir kita dapat lihat banyak negara sudah melakukan 'scratch pair' selepas Olimpik Paris bagi mencari kombinasi terbaik untuk penggal seterusnya. Saya rasa kita juga agak terlewat dan keputusan untuk membentuk gandingan baharu bukan sesuatu yang mudah untuk dibuat," katanya.
Chong Wei dalam masa sama tidak menolak kemungkinan sekiranya gandingan baharu itu menunjukkan hasil positif, ia akan terus kekal hingga Sukan Olimpik LA28.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial