SUKAN > BERITA

MPL MY: Team Vamos Mara Ke Grand Final, Tempah Tiket Ke MSC

06/06/2026 10:59 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Team Vamos muncul pasukan kedua negara yang berjaya melayakkan diri ke Piala Pertengahan Musim (MSC) pada Piala Dunia E-Sukan di Riyadh, Arab Saudi, selepas mara ke Grand Final Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPL MY) Musim Ke-17, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini, Team Vamos bimbingan Afrindo Valentino atau lebih dikenali sebagai Valdo mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas Invictus Gaming (IG) dalam perlawanan separuh akhir lower bracket yang berlangsung dalam format terbaik daripada tujuh (Bo7).

Kejayaan itu menyaksikan Team Vamos melangkah ke pentas final buat kali kedua selepas turut mara ke Grand Final MPL MY Musim Ke-14.

Valdo mengakui beliau tidak menjangka anak buahnya mampu meraih kemenangan mudah memandangkan beberapa pemain berdepan masalah kesihatan menjelang perlawanan.

"Sebenarnya saya tidak menjangkakan kami mampu menang 4-0 kerana sebelum perlawanan hari ini, ada beberapa pemain yang kurang sihat.

"Bagaimanapun, pemain-pemain saya sememangnya layak meraih kemenangan ini kerana mereka banyak berkorban dan bekerja keras untuk sampai ke tahap ini," katanya ketika ditemui selepas perlawanan hari ini.

Menanti Team Vamos di Grand Final esok ialah juara bertahan, Selangor Red Giants (SRG), yang terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pentas akhir selepas menewaskan IG 3-1 dalam aksi separuh akhir upper bracket, kelmarin.

Mengulas mengenai pertemuan menentang SRG, Valdo mengakui skuad Gergasi Merah itu masih memiliki kelebihan tersendiri meskipun Team Vamos pernah menewaskan mereka sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemainnya supaya tidak terlalu selesa dengan rekod berkenaan.

"Ketika kami menang sebelum ini, SRG tidak menurunkan pemain utama mereka, Kramm. Namun, Kramm kini sudah kembali memperkuatkan pasukan itu.

"Jadi, pemain-pemain perlu lebih fokus dan memberikan aksi terbaik pada perlawanan Grand Final esok," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan