SUKAN > BERITA

Sampai Bila Harap Kayuhan Azizulhasni?

28/04/2026 12:02 PM

 

Oleh Muhammad Zulkarnain Mohd Azman

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Nama Datuk Azizulhasni Awang bukan sekadar sinonim dengan sukan berbasikal trek negara, malah sejak sekian lama menjadi simbol ketahanan, keberanian dan keazaman luar biasa seorang atlet Malaysia.

Setiap kali Jalur Gemilang dikibarkan di pentas antarabangsa menerusi acara keirin atau pecut, beliau sering menjadi sandaran utama rakyat yang mengimpikan kejayaan.

Malah, seperti kebiasaan, Azizulhasni jarang pulang dengan tangan kosong setiap kali menyertai perlumbaan, terutama ketika berada pada tahap prestasi terbaik.

Terbaharu, Sabtu lepas, pelumba yang mendapat julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu menggamatkan penyokong tempatan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan apabila meraih pingat emas acara keirin lelaki pada siri ketiga Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026.

Pada usia 38 tahun, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu membuktikan dirinya masih berbisa apabila berjaya menewaskan juara dunia yang jauh lebih muda, Harrie Lavreysen, 29, dari Belanda untuk muncul juara acara berkenaan.

Kemenangan itu juga merupakan yang kedua buat Azizulhasni dalam acara keirin pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 selepas turut menjuarainya pada Siri Satu di Perth, Australia, Mac lepas.

Namun, di sebalik rentetan kejayaan itu, timbul persoalan sejauh mana Malaysia boleh terus menyandarkan harapan kepada beliau dalam memburu pingat di pentas antarabangsa.

Hakikatnya, kejayaan menewaskan pelumba lebih muda serta kekal kompetitif sememangnya mengagumkan. Namun, pada masa sama, ia turut mendedahkan ekosistem berbasikal trek negara yang masih terlalu bergantung kepada satu nama besar.

Bekas pelumba basikal trek negara Josiah Ng mengakui Malaysia perlu memperkukuh sistem latihan dan sokongan bagi melahirkan lebih ramai atlet seperti Azizulhasni yang mampu menggalas tanggungjawab mengharumkan nama negara.

Menurutnya, sistem latihan dan sokongan sedia ada ketika ini berada pada tahap baik, namun masih belum cukup kukuh untuk mencapai matlamat berkenaan.

“Ketika ini, sistem kita berada pada tahap ‘baik’. Namun, dengan sistem dan pasukan sokongan yang sekadar ‘baik’, adakah kita mampu melahirkan seorang lagi Azizul? Azizul bukan sekadar ‘baik’, beliau luar biasa,” katanya kepada Bernama.

Kebergantungan kepada seorang atlet bukanlah perkara baharu dalam landskap sukan negara. Dalam badminton, misalnya, Malaysia pernah terlalu bergantung kepada Datuk Seri Lee Chong Wei, manakala dalam skuasy pula kepada Datuk Nicol David.

Justeru, pihak berkepentingan tidak boleh terus selesa dibuai kejayaan semasa tanpa merangka pelan peralihan yang jelas dan terancang.

Dalam pada itu, bakat pelapis sedia ada seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi perlu terus digilap bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan sukan berbasikal trek negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan