BERITA TERGEMPAR   LUBNAN RUGI SEHINGGA US$160 JUTA SEHARI AKIBAT KONFLIK - PERSATUAN EKONOMI | 
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ATM Perlu Utamakan Tingkat Taraf Hidup, Kesiapsiagaan Anggota - Raja Perlis

28/04/2026 01:47 PM

KANGAR, 28 April (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya sentiasa memberikan keutamaan dalam meningkatkan taraf hidup serta kesiapsiagaan anggota keselamatan itu.

Baginda bertitah ini kerana pertahanan negara bukan sahaja bergantung kepada aset moden tetapi juga kesejahteraan fizikal, mental dan ekonomi anggotanya.

"Sistem komunikasi, peralatan dan aset pertahanan untuk kecekapan operasi perlu dinaik taraf secara berterusan, kediaman yang kondusif bagi anggota dan keluarga mesti disediakan, serta elaun bagi menjamin kebajikan ekonomi warga ATM wajar disemak dan ditambah baik dari semasa ke semasa," titah baginda.

Ad Banner

Raja Perlis bertitah demikian ketika berkenan menerima sembah menghadap Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman di Balai Menghadap Biru, Istana Arau di Arau semalam yang dimaklumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Arau hari ini.

Turut berangkat Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia.

Selain itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut mengingatkan warga ATM supaya sentiasa melindungi dan mempertahankan setiap inci kedaulatan wilayah negara daripada sebarang ancaman.

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, majlis menghadap itu mencerminkan hubungan erat dan berterusan antara institusi Diraja Perlis dengan kepimpinan tertinggi ATM khususnya dalam memperkukuh aspek kestabilan negara serta bagi mendepani cabaran keselamatan semasa serta masa hadapan.

Tuanku Syed Sirajuddin yang juga Kolonel Yang DiPertua Kor Rejimen Renjer DiRaja dan Kor Polis Tentera DiRaja Malaysia merupakan alumni Royal Military Academy Sandhurst (RMAS), United Kingdom (1964-1965).

Pada majlis itu baginda turut berkongsi pengalaman peribadi pahit getir perjuangan semasa bertugas sebagai seorang pegawai tentera ketika negara mengharungi peperangan menentang komunis, penempatan di barisan hadapan kawasan tumpuan konflik ketika konfrantasi serta peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan