KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Pendekatan jurulatih baharu Ooi Tze Liang berjaya memantapkan prestasi penerjun negara Yong Rui Jie apabila muncul juara berganda pada Kejohanan Ujian Kebangsaan di Bukit Jalil, hari ini.
Rui Jie berkata peningkatan prestasi dalam tempoh dua bulan terakhir banyak dipengaruhi latihan serta teknik baharu yang diterapkan Tze Liang sejak Februari lepas.
“Saya rasa lebih konsisten dan banyak berkembang apabila belajar teknik berbeza dengan jurulatih baharu yang boleh digabungkan dengan apa yang dipelajari sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas kejohanan itu di Pusat Akuatik Nasional di sini hari ini.
Atlet berusia 20 tahun itu mengakui aspek ketinggian lonjakan dan konsistensi menjadi antara peningkatan ketara dalam persembahannya, sekali gus memberi keyakinan untuk mencatat keputusan lebih baik.
Kemenangan itu juga dijangka membuka peluang untuk Rui Jie disenaraikan ke Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun dengan kejohanan tersebut antara platform pemilihan atlet ke temasya berkenaan.
Bagaimanapun, Rui Jie mengakui masih perlu meningkatkan keyakinan diri dan mengekalkan momentum semasa sekiranya ingin merealisasikan impian membuat penampilan sulung di pentas Asia.
“Saya harap dapat terpilih. Fokus sekarang ialah mengekalkan konsistensi dan meneruskan momentum hingga ke Sukan Asia jika ada rezeki,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan akan terus memberi tumpuan penuh kepada latihan harian bagi meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi.
Rui Jie berkata akan menyertai satu lagi kejohanan tempatan iaitu Malaysia Invitational Games (MIG) di Sarawak yang turut menjadi medan penting untuk mengumpul mata kelayakan.
Terdahulu, atlet berasal dari Kuala Lumpur itu menjuarai acara 1 meter (m) lelaki dengan kutipan mata sebanyak 341.10 selepas enam terjunan.
Tempat kedua milik Nurqayyum Mohamad Nazim selepas mengutip 300.15 mata manakala tempat ketiga Muhammad Syafiq Puteh dengan 292.60 mata.
Selain itu, Rui Jie dan Nurqayyum menjuarai acara 3 m papan anjal seirama dengan 364.62 mata manakala tempat kedua milik Ikmal Abror Ibrahim-Muhammad Haris Mohd Haikal dengan 307.86 mata.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial