KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) melakar sejarah apabila Jade Camp 2026 sempena ulang tahun ke-110 penubuhannya diiktiraf memecah dua rekod peringkat ASEAN dan Asia.
Ketua Pesuruhjaya PPPM Datuk Yeoh Soo Keng berkata perhimpunan besar itu memecah rekod serta diiktiraf pencapaian Largest Girl Guide Camp & Grand March-In Ceremony at a Stadium Alongside The World's Second-Tallest Building for a 110 Year Celebration, sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas serantau dan antarabangsa.
“Perkhemahan tiga hari bermula 24 April menghimpunkan 2,031 ahli Pandu Puteri dari seluruh negara merangkumi pelbagai peringkat termasuk Kelip-Kelip, Tunas, Remaja, Renjer, Klover serta pemimpin,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup program di Stadium Merdeka hari ini.
Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan kekuatan dan kesinambungan peranan persatuan dalam membentuk kepimpinan wanita sejak penubuhannya pada 1916.
“Daripada hanya lapan ahli ketika ditubuhkan di Kuala Lumpur, kini PPPM mempunyai lebih 100,000 ahli di seluruh negara. Kejayaan ini hasil komitmen berterusan dalam memperkasakan wanita muda,” katanya.
Yeoh berkata pemilihan Stadium Merdeka sebagai lokasi penganjuran dengan latar Merdeka 118 yang merupakan bangunan kedua tertinggi dunia memberi simbolik aspirasi tinggi kepada ahli Pandu Puteri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Bhd (PNB) Merdeka Ventures Datuk Izwan Ibrahim berkata penganjuran program berskala besar itu mencerminkan semangat kesatuan, kepimpinan dan jati diri dalam kalangan gadis muda dan wanita.
“Jade Camp bukan sekadar perkhemahan tetapi platform pembelajaran holistik yang membentuk generasi muda. Sepanjang program ini, peserta berpeluang mengasah kemahiran kepimpinan, memperkukuh disiplin diri serta memupuk semangat kerjasama dan daya tahan melalui pelbagai aktiviti,” katanya.
Izwan berkata nilai yang diterapkan bukan sahaja melahirkan ahli Pandu Puteri yang cemerlang malah mempersiapkan mereka sebagai pemimpin masa depan negara.
Peserta Aleesya Dania Mohd Hairie, 16, berkata penyertaannya dalam Jade Camp 2026 membantu membina sikap berdikari serta keupayaan menyesuaikan diri dengan cabaran.
“Pada hari pertama dan kedua, khemah basah disebabkan hujan. Jadi kami banyak belajar untuk berdikari menyelesaikan masalah dan di sini juga saya dapat ramai kawan baharu,” katanya.
Sepanjang Jade Camp 2026, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk program lencana kepimpinan dan kelestarian, cabaran berkumpulan serta modul berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti tindakan iklim dan pendidikan berkualiti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial