SUKAN > BERITA

Kemunculan Semula Selepas 111 Hari, Menghampakan Buat Zii Jia

06/01/2026 09:46 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Kemunculan semula selepas 111 hari “berehat” daripada sebarang perlawanan, menyaksikan pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia berdepan satu lagi kekecewaan apabila tersingkir awal di pusingan pertama Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, di sini hari ini.

Tewas 12-21,17-21 dalam masa hanya 39 minit kepada pemain muda India, Ayush Shetty, jelas membuktikan bekas juara Seluruh England itu masih jauh daripada prestasi terbaiknya, fakta yang dia sendiri akur. 

“Daripada apa yang kita lihat hari ini, yang pasti prestasi saya masih belum 100 peratus, saya rasa mungkin masih sekitar 50 hingga 60 peratus sahaja. Memang saya tidak berpuas hati dengan prestasi hari ini, tetapi saya juga sedar lawan yang dihadapi pun bukan mudah. Tahun lepas, prestasi dia sangat baik dan sudah tentu menjadi pemain yang sedang meningkat naik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan. 

Dalam menilai perlawanan hari ini, pemain berusia 28 tahun itu yakin telah melakukan yang terbaik terutama di set kedua, dengan menekankan penyesuaian taktikal yang dilakukan, namun menegaskan tahap prestasinya masih menjadi faktor menghadkan pencapaian hari ini.

“Saya rasa tidak banyak lagi yang boleh saya lakukan. Saya sudah mencuba yang terbaik, terutamanya dalam set kedua dengan cuba menukar taktikal, tetapi dari segi prestasi saya masih belum 100 peratus. Boleh nampak lagi, saya belum cukup cergas pada masa ini,” katanya sambil mengakui pergerakan di gelanggang kelihatan agak perlahan. 

Bagaimanapun, Zii Jia masih bernada positif malah mengucapkan terima kasih kepada penyokong tempatan atas sokongan padu mereka sepanjang perlawanan, sesuatu yang sangat dirindui sepanjang ketiadaannya dan berazam untuk tampil lebih baik pada Terbuka India dari 13 hingga 18 Jan serta Masters Indonesia dari 20 hingga 25 Jan.

Ketika ini berada di ranking 144 dunia, Zii Jia masih memiliki perlindungan ranking nombor 8 dunia, membolehkan beliau menyertai kejohanan utama bagi tempoh terhad. 

Zii Jia sedang berusaha membuat kemunculan semula selepas menarik diri pada pusingan pertama Masters China 2025 pada September lepas untuk memberi tumpuan kepada pemulihan akibat masalah kesihatan dan kecergasan yang berpunca daripada kecederaan belakang tahun lepas serta kecederaan buku lali yang berlarutan sejak Final Jelajah Dunia BWF pada Disember 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan